90082

Hasrat Wany Hasrita Untuk Buat Persembahan Bersama Pak Ngah Di Pentas Besar Tidak Kesampaian - Suria FM - Segalanya Hiburan

Hasrat penyanyi wanita popular Wany Hasrita untuk membuat persembahan di atas pentas besar bersama Allahyarham Pak Ngah tidak kesampaian apabila komposer tersohor negara itu pergi menghadap Ilahi petang semalam.

Wany sempat mendapatkan khidmat Arwah sebagai komposer untuk dua buah lagunya iaitu Ewah-Ewah termasuklah lagu raya yang berjudul Semarak Syawal.

“Rasanya semua pun tahu sejak dari awal saya jadi penyanyi, cita-cita saya hanya satu iaitu untuk menyanyikan lagu Pak Ngah. Alhamdulillah, saya dapat dan perkara itu sangat-sangat berharga buat saya.

Dua buah lagu dari Pak Ngah untuk saya sebenarnya tidak cukup. Saya belum sempat membawa lagu Pak Ngah ke pentas yang besar dan tengok dia main akordion di atas pentas macam dulu-dulu. Tapi itulah, tak ada rezeki kan”, luah Wany sedih.

Sewaktu mendapat perkhabaran bahawa Pak Ngah telah kembali ke Sang Pencipta, Wany seakan tidak percaya, malah sempat bertanyakan kesahihan perkara itu kepada pihak media.

Menurut Wany lagi, Arwah Pak Ngah seorang yang sangat positif dan sering memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Arwah sangat positif. Bila kita dah habis rakamkan lagu, dia akan cakap Insyaallah harap-harap lagu tradisional mendapat tempat kembali di hati pendengar dan radio.

Segala ilmu yang diajarkan kepada saya memang saya akan ingat sampai bila-bila. Arwah merupakan seorang legenda yang tiada galang ganti”, ujarnya.

Semoga roh Pak Ngah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. SURIA percaya biarpun Pak Ngah sudah tiada, namun lagu-lagunya akan terus hidup sepanjang zaman.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!