90835

‘Iman Baru’ Ustaz Nazrey Johani - Suria FM - Segalanya Hiburan

Jika kita menjenguk kembali kepada album ‘Nasyid Nostalgia Memori The Zikr’, sudah pasti ramai di antara kita yang mengenali penyanyi tersebut hanya dari rupa beliau. Tidak lain dan tidak bukan iaitu Ustaz Nazrey Johani yang merupakan bekas ahli kumpulan nasyid Raihan yang sangat popular pada suatu ketika dahulu.

Antara album yang menjadi perhatian ramai rakyat Malaysia pada ketika itu adalah Puji-Pujian (1996), Allahu (2004), Musafir Perjuangan (2010) dan banyak lagi. Ustaz Nazrey juga dianggap sebagai salah satu watak penting dalam kumpulan Raihan dengan kehebatan vokal beliau.

Kini pada tahun 2018, Ustaz Nazrey Johani masih membanting tulang dalam menyebarkan lagu berunsur ketuhanan melalui alunan muzik dari genre ini. Uniknya pada kali ini, Ustaz Nazrey kembali tampil dengan lagu terbaru berjudul “Iman Baru” yang digubal, dirombak dan diolah bersama LoQue.

Kerjasama ini dirancang pada mulanya oleh Dato’ Farid bersama Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan menurut beliau, penerbitan Iman Baru merupakan sebuah usaha untuk mempromosikan Muzium Masjid Sultan Abdullah. Katanya lagi, “ Muzium Masjid Sultan Abdullah merupakan sebuah bangunan masjid lama yang mempunyai dua fungsi iaitu sebagai sebuah masjid iaitu tempat ibadat masyarakat Islam dan pada masa yang sama merupakan sebuah muzium yang boleh dilawati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa mahupun agama.

Melalui muzium masjid ini masyarakat dengan pelbagai latar belakang kehidupan akan dapat mengenali Islam dengan lebih dekat…”.

Tambah Dato’ Farid lagi, “… seperti semua sedia maklum Ustaz Nazrey merupakan seorang pendakwah yang sentiasa berusaha untuk mengembangkan ajaran Islam kepada semua lapisan masyarakat melalui lagu-lagu beliau sejak dari tahun 1996 bersama kumpulan Raihan melalui album Puji-pujian sehingga kini. Usaha beliau tersebut telah memungkinkan kepada penubuhan Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Perbadanan Muzium Negeri Pahang merasakan usahasama dengan Ustaz Nazrey ini akan bakal mempromosikan Muzium Masjid Sultan Abdullah dengan lebih baik. Muzik merupakan suatu cabang ilmu yg tidak dibuang sewenangnya oleh Islam selagi mana ia tidak melalaikan dan bersifat mendidik.”

Mengulas mengenai pemilihan monoloQue sebagai gandingan bersama Ustaz Nazrey, Dato’ Farid berkata, “Keunikan genre muzik yang diketengahkan oleh monoloQue di samping usaha yang ditonjolkan dalam menggarap budaya Melayu untuk disuaipadankan dengan budaya masa kini. Ini sesuai dengan peranan Perbadanan Muzium Negeri Pahang dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya Melayu dalam pelbagai media. Tambahan pula, banyak lagu yang pernah dihasilkan oleh monoloQue membawa muzik yang segar, tidak sambil lewa dan kadangkala sangat eksperimental. Pendekatan monoloQue memilih untuk menghasilkan lagu dakwah yang lari daripada kebiasaan menggunakan lenggok arab juga bertujuan untuk memberi pemahaman bahawa Islam itu bukan hanya untuk bangsa Arab sahaja.

Perbadanan Muzium Negeri Pahang yakin pendekatan yang dibawa ini dapat menarik bukan sahaja golongan yang meminati lagu-lagu dakwah tetapi melalui gandingan muzik yang unik ini juga akan dapat menarik lebih ramai golongan yang selama ini tidak gemar mendengar lagu dakwah kerana secara tradisinya lagu-lagu dakwah mempunyai irama dan lenggok yang sama turut meminati lagu tersebut.

Memetik kata-kata dari Ustaz Nazrey, Dato’ Farid bertemu dengan beliau di Ranau sendiri untuk mendapatkan sentuhan darinya untuk membawa amanat ini serta sebagai medium bagi mendapatkan dana bagi pembinaan Al-Tahfiz Bayu Syahadah di Ranau, Sabah. Secara tak langsung, Dato’ Farid juga mencadangkan kepadanya untuk menerbitkan sebuah album bagi memacu pengumpulan dana tersebut. Menyentuh mengenai kerjasama ini, Ustaz Nazrey berkata, “Memang menarik… saya juga ada mendengar monoloQue dan apa yang saya suka mengenai monoloQue ini, dia suka ketengahkan perkara yang orang lain tak akan buat. Harap-haraplah dia jadi wali suatu hari nanti sebab wali je yang suka buat benda-benda pelik!” ujarnya sambil tertawa.

Tambahnya lagi, “Mungkin bagi dia, sifat tradisi Melayu itu sendiri adalah lembut dan mungkin kita banyak lupakan jati diri kita jadi dia situ mengetengahkan siapa diri kita.”

Menurut LoQue pula, beliau berkata, “Saya teruja kerana dapat berkerjasama dengan salah seorang lagenda nasyid tanah air tapi pada masa sama… agak terkesima kerana berpeluang untuk mencorakkan lagu-lagu nasyid dengan cap mohor monoloQue itu sendiri serta mempelbagaikan irama nasyid 360 darjah (audio dan visual)…”.

Kepada yang curiga serta ingin tahu, Iman Baru boleh didengarkan di gedung-gedung digital pilihan antaranya Spotify, Apple Music, Joox dan kkbox ataupun alaminya 360 darjah di VEVO saluran monoloQueVEVO (https://www.youtube.com/watch?v=yYdw3dshdSw).

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!