88290

Imran Ajmain Bercerita Lewat Lagu Dalam Konsert Sepuluh Tahun Pertama - Suria FM - Segalanya Hiburan

Tanpa disedari, penyanyi kelahiran Singapura Imran Ajmain sudahpun mewarnai industri muzik tempatan selama sedekad. Bermula dengan pembabitannya yang menyanyi bersama kumpulan-kumpulan hip hop serta R & B Singapura, Imran kemudian mula dikenali sebagai penyanyi solo di Malaysia lewat lagu Yang Sudah Tu Sudah dan Seribu Tahun. Sejak itu namanya tidak asing lagi dalam arena seni tempatan.

Untuk meraikan kehadirannya selama sedekad ini, penyanyi bersuara unik itu telah mengadakan sebuah mini-konsert khas di Esplanade Singapura Jumaat lalu. Konsert yang diberi nama ‘Sepuluh Tahun Pertama’ itu bak sebuah penceritaan tentang perjalanan seni muzik Imran sepanjang sedekad yang dikisahkan melalui lagu-lagu popularnya.

Membuka tirai dengan lagu rancaknya ‘Yang Sudah Tu Sudah’, Imran terus mendapat tepukan gemuruh daripada para peminat setianya yang sama-sama bernyanyi sepanjang dia membuat persembahan. Malam konsert  diserikan lagi dengan lagu-lagu popularnya yang lain seperti ‘Selamat Ulangtahun Sayang’, ‘Jika Kau Pergi’, ‘Di Kalung Kasihan’ dan banyak lagi.

Malah mungkin ramai yang tidak tahu Imran juga pernah mencipta beberapa lagu buat Juara Singapore Idol pertama, Taufik Batisah. Dan pada malam tersebut Imran sempat mendendangkan lagu ‘Sesuatu Janji’ nyanyian asal Taufik Batisah.

Selain menghiburkan penonton dengan nyanyiannya, Imran sempat juga berkongsi beberapa cerita peribadi sepanjang dia bergelar anak seni.

Terdapat juga beberapa ketika di mana Imran meluahkan kisah sedih tentang kesukaran yang dia hadapi untuk bergelar penggiat seni muzik. Lebih menyentuh perasaan, kala Imran bercerita tentang arwah ayahnya Ahmad Husaini Ajmain yang juga seorang penerbit muzik popular di eranya satu ketika dahulu.

Arwah ayahnya yang telah menerbitkan banyak album penyanyi popular seperti arwah Azean Irdawati, kumpulan Sweet Charity dan juga Yasmin Yusuf juga banyak mempengaruhi kerjaya seni Imran.

Maka tidak hairanlah sekiranya pada malam konsert tersebut Imran turut mendedikasikan satu tribut khas buat arwah ayahnya dengan mendendangkan lagu-lagu popular yang pernah diterbitkan oleh ayahnya satu ketika dahulu.

Turut mendendangkan beberapa lagunya yang lain yang mungkin kurang mendapat perhatian daripada stesen radio popular, Imran mengakhiri konsertnya malam itu dengan lagu hitnya ‘Seribu Tahun’, yang mendapat sambutan gemuruh penonton di dalam dewan konsert.

Syabas Suria ucapkan kepada Imran kerana berjaya menghiburkan penonton dengan mengembalikan kenangan lewat lagu-lagunya yang pernah popular satu ketika dahulu. Semoga Imran Ajmain akan terus berkarya dan menghasilkan lebih banyak lagu-lagu hit!

 

Gambar ihsan : @theshahrulizzat untuk @ss_creatives dan Zaidi Jupri

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!