72256

Imran Ajmain Kenang Karya Yusnor Ef - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

img_3725

Berawal daripada pementasan Konsert Malam Aku, Dia dan Lagu yang merupakan tribut lagu-lagu gubahan penulis lirik legenda, Yusnor Ef berlangsung di Istana Budaya di sini pada 11 April 2015, terlahir idea buat penyanyi dan komposer, Imran Ajmain untuk merakam sebuah album mini Hari Raya terkandung naskhah-naskhah seniman terkenal itu dengan mengangkat judul Aidilfitri.

Joget Aidilfitri, Bersabarlah Sayang serta Aidilfitri dendangan indah Sanisah Huri dan Suasana Riang Di Hari Raya (Junainah M Amin), repertoire empat buah lagu klasik itu dinyanyikan semula oleh Imran yang setia mengekalkan genre tradisional dengan pembaharuan susunan muzik sebagai apresiasi buat individu terbilang mula aktif dalam bidang penulisan lirik sejak tahun 1950-an itu.

img_3721

Berkongsi cerita kerjasama spesial ini, pemuda berusia 36 tahun itu berkata, lagu-lagu di dalam album mini ini dipilih oleh Yusnor sendiri di samping mendapatkan khidmat pemuzik, Along Exists untuk susunan semula melodi dengan menyuntik citarasa Imran selaku pembawa arah tuju gubahan. Justeru, setiap aspek tidak dipandang enteng kerana menyedari bukan calang tanggungjawab melagukan kembali karya-karya malar segar.

“Alhamdulillah, proses rakaman yang diadakan selama dua hari sekitar Ramadan 2015 berjalan lancar. Susunan semula muzik bertujuan memberi nafas baharu terhadap lagu-lagu ini mengambil tempoh hanya sebulan. Bagaimanapun, Bersabarlah Sayang memberi cabaran kepada saya kerana lagu itu pernah dinyanyikan oleh seorang penyanyi hebat sebelum ini. Cuma saya agak gembira apabila Cikgu (gelaran Imran kepada Yusnor) mengatakan bahawa nyanyian saya berbeza.

imran-ajmain-aidilfitri-fixed

“Sejujurnya, menyanyikan semula lagu klasik terutama menjadi siulan ramai bukan satu tugas yang mudah. Saya harus mengekalkan bunyi-bunyian tradisional. Dan waktu sama, susunan muzik harus kedengaran pleasant pada halwa telinga pendengar. Lantaran itu, sesiapa sahaja boleh menikmati lagu-lagu ini dalam versi terkini.”

Hakikatnya, pengkisahan survival dan kesuksesan seni Yusnor telah melekat dalam diri Imran sejak zaman kanak-kanak lagi. Mereka punya hubungan kekeluargaan akrab sejak berpuluh tahun lalu. Datuk Imran berkawan dengan seniman tersebut dari tahun 50-an. Dan kesinambungan itu diteruskan oleh arwah bapanya yang juga merupakan seorang pemuzik di Singapura.

Menjulang tinggi Yusnor sebagai mentornya, Imran memberitahu; “Saya teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama dengan Cikgu yang merupakan seorang seniman hebat dengan hasil karyanya masih diperdengarkan sehingga ke hari ini. Ia menjadi antara sejarah manis buat saya sebagai anak seni.”

imran-ajmain-aidilfitri-rear-artwork

Lagu Joget Aidilfitri, Bersabarlah Sayang, Aidilfitri dan Suasana Riang Di Hari Raya ini boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify di http://bit.ly/imranajmainaidilfitrispotify, Apple Music http://bit.ly/imranajmainaidilfitriapplemusic, iTunes http://bit.ly/imranajmainaidilfitriitunes dan JOOX http://bit.ly/imranajmainaidilfitriJOOX.

Sementara itu, video muzik Suasana Riang Di Hari Raya boleh ditonton di laman YouTube akaun Imran Ajmain; https://www.youtube.com/watch?v=oSqdmojAD9c.

Diskografi anak kelahiran Singapura itu yang bergenre R&B, soul serta pop sebelum ini diawali Dengan Secara Kebetulan pada tahun 2007, Punca Dan Tindakan (2009) dan Setulus Kasih (2014).

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!