Sejurus selepas penyanyi muda, Haqiem Rusli memberitahu yang dia mungkin akan berhenti menyanyi, penyanyi, Sufian Suhaimi yang juga rakan Haqiem Rusli yakin jika penyanyi lagu Tergantung Sepi itu tidak akan berhenti menyanyi.

Ini dilaporkan oleh Sudirman Mohd Tahir di laman sesawang Harian Metro hari ini.

Menurut laporan akhbar tersebut, Sufian, 26, berasakan Haqiem tidak mengalami masalah kemurungan keterlaluan seperti diperkatakan banyak pihak sekarang.

“Saya tidak tahu nak cakap kemurungan diperkatakan Haqiem di laman Instagram miliknya sesuai dengan situasi dilalui sekarang. Bagi saya, dia jenis teliti hinggakan masalah kecil dihadapi dia akan terlalu berfikir mengenainya.

“Kalau betul dia mengalami masalah ini, bagi saya ia masih terkawal. Lagi pun, dia tidak duduk seorang diri sebaliknya tinggal bersama keluarga. Dalam masa sama, dia masih mendapat sokongan moral tinggi daripada orang sekeliling dan peminat.

“Jika ingin dibandingkan dengan remaja lain, kehidupan Haqiem jauh lebih bertuah. Sebagai rakan, saya menghormati setiap apa dilakukan. Cuma, saya berasakan dia tidak akan berhenti menyanyi,” katanya kepada Harian Metro.

Sufian popular menerusi lagu Di Matamu berkata, Haqiem juga sering berkongsi masalah dihadapi membabitkan hal peribadi, kerjaya dan perhubungan dengan rakan.

“Setiap kali dia berkongsi masalah, saya juga bercerita pengalaman yang pernah dilalui dan cara macam mana mengatasi terutama ketika putus tunang.

“Malah, Haqiem lebih banyak tahu masalah sebenar yang berlaku. Dari situ, dia boleh belajar dan dijadikan motivasi untuk keluar dari masalah.

“Mungkin juga masalah dihadapi sekarang adalah perkara baru untuknya. Kalau nak bercakap soal tertekan dalam industri, dia sepatutnya sudah arif kerana lebih dahulu terbabit bidang ini,” katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Haqiem tidak berjaya kerana dia tidak menjawab panggilan dan mesej.

Bagaimanapun, wakil syarikat rakaman FMC Music, Fatulrahim berkata, Haqiem belum bersedia untuk ditemu bual.

“Haqiem belum bersedia untuk sebarang sesi fotografi dan temu bual. Tunggu bulan depan,” katanya ringkas.

Nampaknya ada juga kawan-kawan Haqiem yang merasakan bahawa penyanyi itu tidak akan meninggalkan dunia seni.

Apapun kami di Suria sama-sama menanti keputusan Haqiem Rusli Julai nanti dan berharap Haqiem akan membuat pilihan terbaik untuk dirinya sendiri.

sumber : Harian Metro

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!