88641

Isu Bergaya Dengan Barang ‘Fake’, Ini Pendapat Neelofa - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pelakon, pengacara dan usahawan terkenal negara, Noor Neelofa memberi pendapat supaya masyarakat mengubah cara pemikiran untuk tidak menyokong penggunaan barangan palsu atau ‘fake’.

Neelofa diminta untuk mengulas mengenai perkara itu gara-gara sepanjang minggu ini hangat di media sosial tentang pendedahan sebuah akaun Instagram yang mendedahkan selebriti yang menggunakan barang ‘fake’.

Saya rasa sudah tiba masanya untuk masyarakat di luar sana sedar bahawa kita perlu mengubah pemikiran kita. Sewaktu saya muda dahulu sebelum saya mampu untuk membeli barangan berjenama, saya tidak pernah membeli barangan berjenama dan saya tidak pernah membeli barang gred ‘A’ , gred ‘B’ atau palsu semata-mata untuk menunjuk. Saya menjadikan perkara itu sebagai motivasi buat diri saya. Satu hari nanti saya pasti mampu membeli barang yang saya mahu”,  jelasnya.

Tegas Neelofa, adalah tidak wajar untuk menggunakan alasan tidak mampu atau harga barang yang asli terlalu mahal untuk ‘menghalalkan’ perbuatan membeli atau mengguna barangan ciplak.

Tambahnya lagi, sebagai seorang usahawan yang menjalankan perniagaan tudung, beliau turut berhadapan dengan isu ciplak apabila tudung jenama Naelofar Hijab turut menjadi mangsa ciplak.

Sebagai seorang usahawan, saya sendiri menghadapi masalah pihak tidak bertanggungjawab yang menciplak tudung keluaran Naelofar Hijab. Saya sendiri rasa kecewa apabila terjumpa dengan orang yang pakai tudung palsu jenama Naelofar. Perkara ini (penggunaan barang ciplak) adalah sesuatu yang saya tentang dan tidak sokong”. ujarnya

Neelofa ditemui sewaktu majlis amal bersama Starbucks Malaysia yang berlangsung di sebuah premis di Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!