72186

Janna Nick Kembali Bergandingan Dengan Saharul Ridzwan dalam 'Bo Bajet' - Suria FM - Segalanya Hiburan

bobajet-bts-404

Astro First Eksklusif sekali lagi mempertaruhkan sebuah naskhah unggul, istimewa untuk penonton setia saluran 480. Kali ini, filem TV yang bakal menemui peminat mulai 27 April 2017 ini menampilkan pendekatan lain dari yang lain, yang mana ia memberi penekanan akan aspek seni kreatif baik dari segi plot penceritaan mahupun keseluruhan penerbitan.

bobajet-bts-967

‘Bo Bajet’ (yang bermakna ‘Tiada Bajet’ dalam Bahasa Melayu) merupakan sebuah filem TV yang dihasilkan oleh Woohoo Pictures Sdn Bhd, produksi yang bertanggungjawab menzahirkan karya-karya berkualiti tinggi yang berjaya meraih kutipan jutaan ringgit menerusi filem-filem pecah panggungnya seperti ‘Ola Bola’ dan ‘The Journey’ di bawah sentuhan pengarah tersohor Chiu Keng Guan. Kedua-dua karya ini mendapat pengiktirafan persada seni sejagat apabila dinobatkan dengan pelbagai anugerah dari bermacam-macam kategori sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

bobajet-bts-259

Namun begitu, untuk filem ‘Bo Bajet’, Chiu tidak tampil sebagai seorang pengarah. Beliau bertindak sebagai Penerbit Eksekutif / Pengasas Konsep Filem dan menaruh sepenuh kepercayaan kepada anak didiknya, Bak Chee Hong, untuk menerajui kerusi sutradara. Bak merupakan seorang pengarah muda yang semakin meningkat naik dan ini merupakan filem TV beliau yang pertama selepas mengarahkan dokumentari khas untuk filem ‘The Journey’ pada tahun 2013.

Chiu selaku Penerbit Eksekutif / Pengasas Konsep Filem ‘Bo Bajet’ berkata, “Bo Bajet merupakan sebuah karya yang luar dari kebiasaan dan menggunakan pendekatan ‘out of the box’. Ia menampilkan pelbagai efek menarik dan cukup kreatif yang mana saya pasti ramai akan beranggapan bajet yang diperlukan untuk menghasilkan filem ini adalah banyak. Ingin saya kongsikan di sini bahawa kos pembikinan yang diperuntukkan untuk filem ini agak terhad yang mana secara tidak langsung mencabar keupayaan setiap krew penerbitan mahupun barisan pelakon untuk menghasilkan sebuah naskhah yang berkualiti namun terbatas oleh kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan ini.

bobajet-bts-586

‘Bo Bajet’ yang berdurasi 90 minit ini bakal mempertaruhkan sebuah plot penceritaan yang penuh humor dan mengambil masa kurang daripada 10 hari untuk sesi penggambaran. Namun begitu pada masa yang sama diselitkan juga dengan pelbagai elemen kejutan dan aksi-aksi menarik yang begitu mendebarkan. Filem TV ini ini bakal menyaksikan gandingan unggul dua pelakon popular masa kini, Janna Nick dan Saharul Ridzwan. Turut terlibat menjayakan filem TV ini ialah pelakon yang cukup disegani, Fatimah Abu Bakar, Noryati Taib dan ramai lagi.

Bak, Pengarah ‘Bo Bajet’ menjelaskan dengan lebih lanjut lagi mengenai faktor-faktor unik yang ditampilkan dalam filem TV ini, “Bo Bajet merupakan percubaan pertama kami yang cukup berani untuk menembusi pasaran filem-filem berbahasa kebangsaan. Kami begitu berhati-hati dari aspek perbelanjaan, namun begitu tetap memastikan filem yang dihasilkan berkualiti tinggi dan akan diterima ramai. Untuk menampilkan kelainan dalam filem ini, kami banyak menyelitkan elemen segar dan babak suspen serta penuh aksi yang dilakonkan sendiri oleh watak-watak utama ‘Bo Bajet’. Mereka ini mendapat bimbingan stuntman profesional yang dibawa khas dari Singapura dan latihan yang diberikan cukup intensif agar pelakon yang terlibat sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk beraksi terutamanya dalam babak pergaduhan. Seperti dimaklumkan, peruntukan kewangan untuk filem ini adalah terhad, oleh itu aksi kejar-mengejar kereta yang diangkat dalam filem ini dihasilkan menerusi efek teknologi CGI (teknik penerapan teknologi komputer grafik) dengan hanya menggunakan beberapa buah kereta kawalan jauh.”

bobajet-bts-1101

‘Bo Bajet’ mengisahkan tentang tiga orang pelajar jurusan perfileman di sebuah universiti tempatan (Shauki, Ajis dan Dee Dee) yang bercita-cita untuk menghasilkan sebuah filem yang cukup hebat, namun di atas faktor kekangan kewangan, mereka perlu memikirkan cara yang paling kreatif untuk menyiapkan tugasan mereka ini. Mereka kemudian melawat ke sebuah kampung dan berjumpa dengan Puan Siti (watak Puan Siti ketika di usia tua dilakonkan oleh Fatimah Abu Bakar), seorang bekas polis yang begitu digeruni di sekitar tahun 1980’an. Puan Siti kemudiannya berkongsi mengenai kisah kehebatan beliau dalam menyelesaikan pelbagai masalah dan membanteras jenayah di kawasan-kawasan yang ditugaskan, ketika di usia muda.

bobajet-bts-1319

Beliau membuka cerita dengan berkongsi akan pengalaman beliau pulang ke kampung bakal suaminya, Ramli (lakonan Saharul Ridwan) untuk diperkenalkan kepada ibu Ramli, Puan Senah (lakonan Noryati Taib). Namun begitu, pelbagai perkara mistik mula berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan Puan Siti (watak Puan Siti ketika muda dilakonkan oleh Janna Nick) turut terlibat turun padang untuk menyiasat kejadian-kejadian yang berlaku yang menghantui orang-orang di kampung itu. Cara hidup masyarakat setempat di kampung tersebut yang begitu mempercayai akan hal-hal berkaitan dengan kewujudan mistik, misteri dan paranormal menyulitkan lagi siasatan Puan Siti, lagi-lagi apabila penduduk kampung mendesak Penghulu (dilakonkan oleh Faiq Syazwan Kuhiri) untuk mendapatkan Tok Bomoh bagi membantu dengan upacara mengusir hantu. Pemikiran kolot orang kampung ini menyebabkan Puan Siti hilang sabar dan mula bertindak di luar kawalan.

Nantikan kesudahan ‘Bo Bajet’ ini di Astro First Eksklusif, saluran 480 atau menerusi Astro On Demand mulai 27 April 2017. Dengan hanya RM15.90 (termasuk GST) untuk sebuah filem, penonton boleh menyaksikan filem ini berulang kali dalam tempoh 48 jam dari waktu pembelian.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!