72066

Judika Jelaskan Maksud Disebalik Single Terbarunya - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kami di SURIAfm berasa sangat teruja apabila mengetahui penyanyi kelahiran Indonesia iaitu Judika telah memilih Malaysia sebagai negara yang pertama dalam siri jelajah beliau untuk mempromosikan single terbarunya yang berjudul ‘Jadi Aku Sebentar Saja’.

Persembahan ‘Malam Sensasi Bersama Judika’ ini telah diadakan di West Entrance, IOI City Mall, Putrajaya pada hari Jumaat yang lalu dan apa yang pastinya rata-rata penonton yang ada ketika itu seakan-akan terpukau dengan persembahan yang ditonjolkan oleh Judika.

Jejaka yang memiliki suara serak yang unik ini merupakan antara penyanyi solo lelaki terbaik di Indonesia dan lagu-lagu beliau juga selalu sahaja mendapat tempat dihati pendengar di Malaysia.

Menurut Judika, peminatnya merupakan insan yang sangat istimewa dalam hatinya kerana tanpa mereka tidak mungkin Judika akan berada sehingga ke tahap ini.

Disebabkan hal itu, Judika mengambil pendekatan untuk menarik peminatnya bersama-sama dalam proses pembikinan album terbarunya dengna mengadakan satu pertandingan mencipta lagu.

“Judikaholics amat teruja dan telah memberi sokongan penuh untuk program ini. Kumpulan produksi dan saya telah melalui masa yang sukar untuk memilih karya-karya terbaik yang telah dihantar oleh mereka. Setelah melalui beberapa proses pemilihan, kami berjaya mendapat kata sepakat untuk memilih lima karya terbaik dan karya-karya ini akan dimuatkan di dalam album saya.”

Apabila disentuh apakah keistimewaan single terbarunya iaitu ‘Jadi Aku Sebentar Saja’, Judika menjelaskan bahawa ia mempunyai maksud yang amat mendalam selain mengajar agar kita tidak mempunyai perasaan dengki dan iri hati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain.

“Acap kali kita merasakan apa yang dimiliki oleh orang lain adalah lebih baik daripada apa yang kita miliki. Kita sentiasa mempunyai keinginan untuk mengikut jejak langkah orang yang lebih berjaya daripada kita. Namun, apabila kita melaluinya, kita mula sedar bahawa realitinya tidaklah seindah yang dibayangkan. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada.”

Kami di SURIAfm mendoakan agar Judika akan terus dilimpahkan kejayaan. Yela, bukanlah nak kipas ke apa tetapi suara Judika dan personaliti yang ditonjolkan olehnya sangat disenangi ramai.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!