88374

Kaka Azraff Kembali ‘Sibuk’ - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kaka Azraff yang aktif mengasah bakatnya dalam bidang lakonan, walaupun beliau memang sibuk menjalani karier sebagai seorang penyanyi. Kini beliau menghasilkan single terbaru iaitu ‘Sibuk’. Penyanyi yang menghiasi kaca TV menerusi drama lakonannya ‘Inai Yang Hilang’ yang sedang ditayangkan di ntv7 ini, turut menampilkan rapper dan penerbit terkenal, Alif sebagai gandingannya dalam single ‘Sibuk’ ini. Alif juga merupakan komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman lagu ini.

Kaka Azraff atau mesra disapa sebagai Kaka ini, pernah popular dengan beberapa buah lagu seperti ‘Bukan Hal Aku’, ‘Terpulanglah’, ‘Terima Kasih’ dan ‘Kembali’. Single terbaru ‘Sibuk’ ini menyaksikan sekali lagi Kaka memilih Alif selaku penerbit dan komposer yang amat serasi dengannya. Kali pertama mereka bergandingan adalah menerusi single hits ‘Bukan Hal Aku’ yang telah melonjakkan populariti Kaka dan membawanya ke pentas Anugerah Juara Lagu Ke-30. Gandingan mereka seterusnya menerusi single ‘Terima Kasih’ membantu mengukuhkan lagi nama Kaka di persada seni tanah air. Menerusi single ‘Sibuk’ ini juga, Kaka berharap agar keserasian mereka dapat diterjemahkan sekali lagi.

Alif sekali lagi menampilkan lagu yang menggunakan bait-bait lirik yang ringkas dan ‘catchy’ diiringi gubahan muzik yang berkonsep segar dan moden, Kaka berkata, “Hasrat saya dalam berkarya adalah untuk merancakkan lagi arena muzik tempatan dengan penghasilan karya yang unik sekaligus memberi pendengar lebih banyak seleksi dan pilihan muzik mengikut citarasa masing-masing. Saya berharap lagu ‘Sibuk’ ini dapat memenuhi citarasa mereka. Sekiranya lagu ini diterima baik dan menjadi siulan ramai, maknanya pendengar memang mahukan lagu yang sebegini”.

‘Sibuk’ merupakan single terbitan dan edaran Warner Music Malaysia. Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 20 JULAI 2018.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!