71852

"Kalau Saya Terpecah Belahkan Kita, Saya Minta Maaf" – Harith Iskander - Suria FM - Segalanya Hiburan

Memang tidak dinafikan ada segelintir rakyat Malaysia yang mempunyai sikap negatif yang sentiasa ingin mencari kesalahan orang lain tidak kira bangsa. 

Ini apa yang terjadi terhadap pelawak, Harith Iskander yang baru sahaja dinobatkan sebagai Funniest Person in the World menerusi sebuah pertandingan yang diadakan di Hullu Poro Arena, Levi, Finland sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM444,000.

Sebelum ini Harith telah memuat naik gambar beserta kapsyen yang mengucapkan terima kasih kepada warga Johor yang menyokong karier beliau sebagai seorang pelawak.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu kerana ia seakan-akan seperti Harith lebih kepada Bangsa Johor walhal seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan dengan menyokong dan mengundi beliau. 

Demi ingin menjernihkan situasi, Harith telah menjelaskan apa maksud disebalik kapsyennya terdahulu. Anda boleh baca kenyataan terbaru dari Harith tentang isu ini.

 

Rupa-rupanya ada segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan post saya dimana saya mengucapkan terima kasih kepada peminat Bangsa Johor yang menyokong saya dalam pertandingan Funniest Person in the World anjuran Laugh Factory. Mereka anggap yang saya mengucapkan Terima kasih HANYA kepada orang Johor dan bukan dengan orang lain yang memberi sokongan kepada saya. Dah jelas mereka yang anggap begitu tak sempat ataupun tak baca langsung beberapa post sebelum itu dimana saya bertungkus lumus mengucap terima kasih kepada kesemua golongan penyokong yang lain yang selama-lama ini tak habis-habis support saya. Post ‘Bangsa Johor’ itu saya tulis khususnya untuk kawan-kawan blogger, social influencers dan pihak media dari Johor yang berpenat-penat menyokong saya di belakang tabir sejak pertandingan ini bermula. Mungkin salah saya sebab tak memperjelaskan perkara ni. Tak apa. Kadang-kadang orang faham apa yang mereka nak faham. Saya tak boleh kawal persepsi orang, apa yang saya boleh buat, adalah pastikan niat saya positif. Saya ingin mengunakan stand up comedy untuk menyatukan orang, dan KALAULAH saya terpecahbelahkan kita pulak, saya minta maaf banyak banyak. Komedi stand-up saya sentiasa tentang menguatkan hubungan antara kita melalui gelak ketawa dan saya akan teruskan buat sehabis baik. Sekali lagi saya minta maaf kalau ada yang terguris hati sebab itu bukanlah niat saya. Izinkan saya merancang kenduri dan makan-makan untuk SEMUA yang telah menyokong saya.. supaya saya berpeluang mengucap terima kasih sepenuh hati secara personal. Butiran majlis ni akan saya kongsikan dalam masa terdekat. Jom gelak sama-sama dan ceriakan dunia! ORANG TENGAH GELAK TAK BOLEH MARAH-MARAH 🇲🇾

A photo posted by Harith Iskander (@harithiskander) on

Kami di SURIAfm berharap agar dengan penjelasan ini dapat memuaskan hati semua dan harap isu ini tidak berpanjangan. Mana mungkin Harith akan melupakan segala sokongan dan undian yang telah dicurahkan oleh semua rakyat Malaysia. 

Penulis : Fara Ismail | Sumber : Instagram Harith Iskander

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!