90157

Kejahatan Syaitan Bertopengkan Manusia di Hell Fest - Suria FM - Segalanya Hiburan

Tiada apa yang lebih menyeronokkan daripada pulang ke kampung halaman dan bercuti bersama sahabat handai. . Apa lagi kalau dapat berjumpa dengan Si Dia dan beramai-ramai menyambut Halloween di pesta ria atau ‘funfair’ terkenal yang singgah di pekan anda. Pesta ria yang bernama Hell Fest itu bertemakan horror dan kengerian, lalu apabila dikunjungi pada hari Halloween, ia penuh dengan pengunjung dan kakitangan pesta yang berpakaian menggerunkan dan menyeramkan.

Secara teorinya, ia memang menyeronokkan. Seperti masuk ke Rumah Hantu gergasi yang diisi pelbagai Rumah Hantu dan Pagar Sesat yang kecil. Tetapi apa perasaan anda jika anda melihat seorang lelaki bertopeng di dalam salah satu Rumah Hantu itu menikam seorang gadis dan anda sedar ia bukan olok-olok? Dan sepanjang malam lelaki itu mengikuti anda dan rakan-rakan anda dan perlahan-lahan membunuh semuanya satu per satu. Itulah yang terjadi di dalam filem ini. Awal yang menyeronokkan dan perlahan-lahan menjadi seram.

Filem Hell Fest dibintangi oleh Amy Forsyth, Bex Taylor-Klaus, Reign Edwards dan Tony Todd dan diarahkan oleh Gregory Plotkin. Ia mengikuti format filem ngeri/pembunuh bersiri dengan baik. Permulaan yang cerah dan gembira dan berubah menjadi suram dan menakutkan dengan pantas.

Seperti filem-filem ngeri lain, ia juga diisi dengan para pelakon yang kacak dan cantik, suasana dan situasi yang sangat ‘berpihak’ kepada pembunuh, babak-babak yang boleh diramalkan, dan aksi pembunuhan yang mengerikan.

Sewaktu majlis pra-tonton filem ini, ada beberapa orang penonton yang kelihatan panik dan ketakutan. Tetapi bagi Suria, Hell Fest banyak babak yang membosankan daripada mengerikan. Mungkin kerana terlalu banyak babak yang boleh diagak rentetannya. Idea pesta ria yang bertemakan keriangan Halloween yang menjadi latar belakang filem ini sebenarnya lebih menghiburkan daripada jalan ceritanya.

Hell Fest cuba menimbulkan rasa misteri dengan tidak menunjukkan muka sebenar pembunuh sedikit pun, tetapi mungkin apa yang disampaikan di hujung filem ini adalah perkara yang lebih menakutkan daripada segala bentuk hantu jembalang adalah sebenarnya syaitan yang bertopengkan manusia yang sentiasa ada di sekeliling kita.

Filem Hell Fest boleh ditonton di pawagam di seluruh negara bermula 27 September 2018.

sumbangan : Ili Farhana

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!