72514

'Kejar' Hafiz Suip - Suria FM - Segalanya Hiburan

hafizsuip-kejar_final

Setelah hampir dua tahun dilihat menyepi dari aktiviti seni, Hafiz Suip, pelantun lagu popular ‘Bahagiamu Deritaku’ ini, membuat kemunculan semula di persada muzik tanah air dengan sebuah lagu berjudul ‘Kejar’ demi mengubati kerinduan para peminatnya.

Lagu yang membawakan genre muzik pop ini mungkin akan mengingatkan peminat kepada lagu-lagu dendangan Bruno Mars yang sangat popular masa kini. Ia merupakan hasil nukilan komposer terkenal tanah air, Audi Mok dengan kerjasama Shazee Ishak yang juga merupakan penulis lirik lagu.

hafiz-kejar-3

Membuat perhitungan yang cukup berani untuk lari daripada imej penyanyi balada yang dibawa, Hafiz mempertaruhkan ‘Kejar’, sebuah lagu yang yang berentak rancak dengan iringan melodi yang santai. Kandungan bait-bait liriknya pula cukup ringkas di mana ia mengisahkan tentang sebuah percintaan luar biasa.

Mengulas mengenai kemunculan semula beliau menerusi lagu ‘Kejar’, Hafiz Suip berkata, “Sejak mula saya berkecimpung dalam bidang nyanyian, saya sering membawakan lagu-lagu berentak balada. Tidak dinafikan, lagu-lagu tersebut berjaya melayakkan saya meraih pelbagai anugerah seterusnya membantu melonjakkan nama saya dalam industri ini. Apabila sebut sahaja nama ‘Hafiz Suip’, peminat akan membayangkan saya membawakan lagu-lagu berentak perlahan yang penuh dengan emosi. Itulah imej saya di mata peminat.

hafiz-kejar-1

Namun begitu, sebagai seorang penyanyi, saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan perlu sentiasa tampil versatil. Lagi pula, citarasa peminat muzik sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Saya sedar, untuk terus bertahan dan kekal relevan dalam industri seni yang cukup kompetitif ini, saya tidak boleh sentiasa berada di takuk yang lama.

Oleh itu, saya kena buktikan kepada peminat kemampuan saya dalam membawakan pelbagai genre muzik. Kehadiran lagu ‘Kejar’ ini memberi peluang kepada saya untuk lari daripada bayangan lagu berentak balada. Susunan muziknya yang rancak dan liriknya yang ringkas akan mudah menangkap di halwa telinga peminat. Memandangkan lagu ini merupakan buah tangan terbaru saya selepas lama menyepi, penting untuk lagu ini memenangi hati mereka. Saya berharap single ini akan menjadi titik permulaan buat saya untuk menjadi seorang penyanyi yang serba boleh, khas untuk para peminat yang selama ini setia menantikan kemunculan semula saya. Semoga anda semua terhibur”.

Buah tangan terbaharu daripada Hafiz ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan bermula pada hari ini. Selain ini, lagu ini turut boleh didengari di landasan penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. Muzik video lagu ‘Kejar’ ini pula boleh ditonton secara eksklusif menerusi saluran Youtube Rocketfuel Network mulai minggu hadapan.

Rangka promosi ‘Kejar’ akan dijalankan sepanjang bulan Ogos ini, di mana Hafiz dijadualkan memenuhi sesi temubual di stesen-stesen radio dan televisyen tempatan serta menghadiri beberapa sesi bertemu peminat di seluruh Malaysia.

Selama tujuh tahun berada dalam industri seni tanah air, Hafiz berjaya menerima pengiktirafan di majlis anugerah muzik berprestij di Malaysia seperti ‘Anugerah Juara Lagu’, ‘Anugerah Industri Muzik’, ‘Anugerah Bintang Popular Berita Harian’ dan banyak lagi.

hafiz-kejar-2

Kehebatan alunan vokalnya dalam menyampaikan lagu-lagu berentak balada seperti ‘Awan Nano’, ‘Bahagiamu Deritaku’, ‘Matahari’ dan lagu-lagu duet seperti ‘Ombak Rindu’, ‘Muara Hati’ dan ‘Salahkah’ sememangya tidak boleh disangkal dan bakat yang dikurniakan ini menjadikan beliau sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang begitu dikagumi di persada muzik tanah air mahupun di peringkat serantau.

Lagu ‘Kejar’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan. Layari saluran Youtube Rocketfuel Network untuk maklumat lanjut.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!