72243

Kemenangan Untukmu, Doa dari KLAUT - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

klaut-hi-res

Terkesan menyaksikan Palestin semakin dipinggirkan bersama isu kemanusiaan yang tidak pernah selesai, telah mendorong kepada penciptaan lagu Kemenangan Untukmu oleh KLAUT.

Bernaung di bawah label AJ Music Malaysia, KLAUT merupakan artis yang mempertaruhkan konsep duo akustik dengan membawakan lagu-lagu berunsur kemanusiaan dan ketuhanan. Dianggotai oleh Fikri Rafezin,22, selaku vokalis dan ZaL Azman selaku gitaris, masing-masing yang berasal daripada Terengganu dan Pahang ini bergabung demi menyampaikan mesej di dalam lagu mereka.

Single pertama berjudul “Kemenangan Untukmu” ini ciptaan ZaL Azman dan liriknya dibuat bersama penulis lirik, Zara Alhaj. Menurut ZaL Azman , sebagai rakyat biasa , beliau tiada kuasa penuh untuk membantu umat Islam yang ditindas di serata dunia terutama di Palestin kecuali dengan “bersuara” melalui lagu. Menurutnya, “ Saya mahu umat manusia sedar yang peta Palestin makin lenyap dari peta dunia, begitu juga dengan rakyatnya. Sebagai umat Islam kita tidak boleh membiarkan hal itu terjadi kerana Palestin adalah tempat suci umat Islam. Lebih-lebih lagi di situ tempat berlaku peristiwa penting umat Islam iaitu peristiwa Isra’ Mikraj”.

Lagu Kemenangan Untukmu bukanlah lagu pertama ciptaan ZaL Azman dan Zara Alhaj. Pasangan komposer dan penulis lirik ini telah berpengalaman selama 6 tahun dalam bidang penciptaan lagu. Mereka hanya mula serius memasarkan lagu-lagu mereka ke pasaran mainstream sejak tiga tahun lalu. Antara lagu-lagu ciptaan mereka adalah Setia Menanti, Bukan Siapa Siapa, Inspirasi, Muhammad Ya Habiballah dan banyak lagi.

Sebelum merakamkan lagu single pertama ini, KLAUT selalu membuat persembahan di dalam majlis-majlis peribadi, membawakan lagu-lagu berunsur ketuhanan, kemanusiaan dan juga lagu-lagu balada cinta semasa. Fikri Rafezin berkata, “Kemenangan Untukmu juga merupakan lagu cinta, tapi cinta dari sudut yang berbeza. Lebih kepada cinta sesama umat manusia.”

KLAUT berharap agar mesej yang disampaikan akan diterima baik oleh semua lapisan masyarakat kerana lagu ini menurut mereka ditujukan secara amnya kepada seluruh umat islam yang ditindas diseluruh dunia seperti di Syria, Rohingya dan lain-lain. Lagu ini juga menurut mereka merupakan doa dan janji Allah bahawa Islam akan mencapai kemenangan dibumiNya.

Muzik video lirik Kemenangan Untukmu sudah boleh ditonton di laman Youtube AJ Music
[ https://www.youtube.com/watch?v=qmqtK63VJIA ] dan lagu kini boleh dimuat turun di iTunes
[ https://itunes.apple.com/my/album/kemenangan-untukmu-single/id1225877281 ].

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!