
/wp-content/uploads/2019/04/DSC_1300.jpg)
Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Budak Belakang hari ini mengumumkan usaha kolaborasi melalui kandungan digital Budak Belakang yang berteraskan muzik rap – ‘Budak Belakang Season 2’. Pengumuman dibuat semasa majlis perasmian sesi ujibakat musim ke-2 kandungan digital tersebut di kampus UNIRAZAK, Kuala Lumpur.
Bagi sentiasa kekal inovatif dan mendukung aspirasi pengajian tinggi di Malaysia, UNIRAZAK dengan bangganya mengambil langkah untuk keluar dari kotak pembelajaran konvensional dengan berkolaborasi menerusi acara ujibakat musim ke-2 siri kandungan digital Budak Belakang, sebuah idea kreatif sekumpulan pendidik yang diketuai oleh Sir Badang atau nama sebenarnya Syahir Andy.
Acara ujibakat musim ke-2 yang berlangsung hari ini, menyaksikan kehadiran lebih 200 peminat dan penggiat muzik rap yang rata-ratanya terdiri dari pelajar sekolah menengah. Pada ujibakat musim ke-2 ini, buat pertama kalinya penyertaan ujibakat dibuka kepada para pelajar universiti tempatan. Pada sesi ujibakat tersebut, beberapa nama-nama besar dalam industri rap tanah air seperti Caprice, Fariq Frequensi, Ashtin dan Sxph turut serta memeriahkan acara dan hadir sebagai tanda sokongan kepada bakat pelapis genre muzik rap Malaysia.
Mengangkat tema ‘Let The Youth Speaks The Truth’ ujibakat musim ke-2 ini bertambah menarik dengan adanya penglibatan sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Bank Rakyat School of Business & Entrepreneurship, UNIRAZAK yang diberi akses eksklusif oleh Budak Belakang untuk membuat liputan menyeluruh persembahan dan peringkat penggambaran yang bakal melibatkan 30 finalis yang terdiri dari pelajar sekolah menengah dan universiti tempatan.
Di seluruh peringkat tugasan yang diberikan, pelajar UNIRAZAK bakal membentangkan kepada Budak Belakang dan pasukan mereka segala penemuan dan cadangan mereka mengenai pemasaran, penjenamaan, ‘kehadiran digital’, serta relevan kandungan Budak Belakang kepada penonton sasaran mereka dalam bentuk dokumen pelan pemasaran strategik. Input pemasaran ini akan memberi manfaat kepada projek masa depan Budak Belakang terutamanya dalam menghasilkan kandungan YouTube mereka.
Nor Khalidah Abu, Pensyarah, Bank Rakyat School of Business & Entrepreneurship, UNIRAZAK
“Sebagai seorang pensyarah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa memastikan bahawa semua pelajar saya mendapat pembelajaran yang komprehensif. Pertama kali menonton kandungan YouTube Budak Belakang, saya mendapat ilham untuk menjadikan kandungan itu sebahagian dari pembelajaran kepada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Bank Rakyat School of Business & Entrepreneurship, UNIRAZAK.
Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Budak Belakang, dalam memberikan pembelajaran luar bilik kuliah yang memberi impak bukan sahaja pada waktu kuliah mereka malah lebih dari itu. Kami di UNIRAZAK percaya dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing, pelajar harus diberikan pendedahan kepada dunia sebenar pada peringkat awal iaitu sebelum mereka mengakhiri pengajian mereka di UNIRAZAK.
Idea kolaborasi ini bukan sahaja disambut oleh pihak pengurusan tertinggi UNIRAZAK, terutamanya Ketua Pegawai Eksekutif kami iaitu Encik Amil Izham Hamzah. Beliau secara peribadi memberikan sokongan dan galakan kepada saya dengan memperuntukkan dana tambahan untuk membiayai projek ini. Ditambah pula dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh pihak Budak Belakang untuk kolaborasi sulung ini harus diberi pujian dan amat kami hargai.”
Syahir Andy @ Sir Badang, Budak Belakang
“Apabila kami dihubungi pihak UNIRAZAK, kami amat terharu dan berbesar hati. Ini kerana, selama saya dan rakan-rakan memperjuangkan kecintaan kami terhadap muzik rap yang diadun dengan unsur pembelajaran, adalah menjadi harapan kami agar usaha kami ini mendapat perhatian dari sebuah institusi pengajian tinggi seperti UNIRAZAK.
Tertubuhnya pasukan Budak Belakang ini adalah dengan hanya satu tujuan, iaitu memberikan impak positif kepada golongan belia yang masih dibangku sekolah agar sentiasa berusaha menjadi yang terbaik dan untuk tidak tersisih oleh stigma yang wujud dalam kalangan pelajar yang bukan mengambil jurusan sains tulen di sekolah. Peluang bagi pelajar bukan aliran sains sentiasa terbuka luas. Aliran pembelajaran bukan penghalang kepada kejayaan seseorang.
Peluang yang diberikan pihak UNIRAZAK akan kami manfaatkan sepenuhnya. Kami melihat peluang ini bukan hanya dari lensa memberi pelajaran kepada pelajar UNIRAZAK, sebaliknya berkongsi pengetahuan yang amat berguna dari 23 bakal graduan UNIRAZAK ini.”
Trivia Sesi Ujibakat Budak Belakang Musim ke 2
- Ini merupakan kolaborasi pertama oleh pasukan Budak Belakang dengan sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia.
- Seramai 23 pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Bank Rakyat School of Business & Entrepreneurship, UNIRAZAK yang terdiri daripada para pelajar tahun 1 ke tahun 3 akan mengikuti pasukan Budak Belakang selama 12 minggu pembelajaran luar kampus ini.
- Ujibakat musim ke-2 ini dihadiri oleh lebih 200 pelajar sekolah menengah dan universiti tempatan seluruh UNIRAZAK merupakan lokasi pertama ujibakat di Kuala Lumpur.
- Setelah tamat 12 minggu pembelajaran luar kampus, penuntut UNIRAZAK yang dipecahkan kepada beberapa kumpulan, bakal menghasilkan sebuah filem pendek berdurasi 3 minit dan penceritaan mereka akan meliputi segala apa yang telah mereka lalui bersama pasukan Budak Belakang.
- Setiap filem pendek dan pelan pemasaran strategik bakal diadili oleh para panel yang terdiri dari Dekan fakulti Bank Rakyat School of Business & Entrepreneurship, UNIRAZAK dan juga beberapa individu berkemahiran di dalam industri hiburan tanah
Ikuti Maklumat Budak Belakang Musim Ke-2 Di Laman Sosial Berikut
Instagram : @myunirazak @budak_belakang
Facebook : @MyUnirazak
Youtube : MyUnirazak BUDAK BELAKANG
Hashtag: #URxBB #BudakBelakangSeason2