96872

Konsert 4G’s, Gabungan Empat Penyanyi Jejaka Tersohor Bakal Gegarkan Istana Budaya - Suria FM - Segalanya Hiburan

Empat penyanyi jejaka yang tidak asing lagi dengan generasi masa kini: Black, Hazama, Tomok dan Akim bersedia untuk menerjah emosi peminat dengan melodi kecintaan mereka menerusi sebuah konsert berskala mega di Panggung Sari, Istana Budaya pada 17 dan 18 April 2020.

Buat julung kali disatukan di atas pentas berprestij negara dan berbeza dengan konsert-konsert gabungan lain, keempat-empat anak seni ini bakal dipersembahkan sebagai sebuah kombinasi yang akan saling berpadu suara dalam setiap lagu dendangan.

“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam dalam sesebuah konsert memang tidak asing, repertoirnya lebih fokus terhadap persembahan duet beramai-ramai dan akan menyampaikan lagu-lagu ‘hits’ di beberapa era dari penghujung 70an hingga sekarang yang telah memberi inspirasi kepada setiap daripada mereka dan membentuk mereka seperti hari ini. Walaupun begitu, persembahan solo lagu popular masing-masing masih tetap akan dipersembahkan.

“Konsep konsert ini lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, seperti quartet dengan keunikan karakter pada setiap penyanyi,” kata wakil Belbis Sdn Bhd selaku penerbit dan penganjur konsert.

Gabungan suara ini juga akan dimantapkan lagi dengan susunan muzik oleh komposer dan pengarah muzik tersohor negara, Aubrey Suwito, dengan gabungan simfoni oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan Istana Budaya.

Aubrey Suwito, paling kiri, pengarah muzik bagi konsert 4Gs yang berlangsung pada April ini

Aubrey ketika ditemui semasa Sidang Media Konsert 4G’s: Gabungan Melodi Terindah di Istana Budaya pada Selasa berkata, gabungan suara anak-anak seni tempatan yang disokong penuh Istana Budaya ini merupakan satu keperluan untuk negara dalam melahirkan sebuah negara dan masyarakat yang berbudaya.

Bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, konsert ini dijadikan sebagai sebuah agenda istimewa Istana Budaya dalam menggalakkan penyertaan pelancong luar dan tempatan dalam kekayaan budaya tempatan.

Gabungan 4Gs bergambar bersama barisan penaja pada sidang media di Istana Budaya pada Selasa

Kelainan konsert ini juga ialah sebuah single terbaharu hasil gabungan vokal Black, Hazama, Tomok dan Akim yang kini dalam proses pembikinan bakal diperdengarkan untuk pertama kali semasa konsert tersebut.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert  ini!

Tiket-tiket yang berharga RM98, RM248, RM348, RM428 dan RM518 untuk menyaksikan konsert tersebut telah mula dijual di laman web www.airasiaredtix.com

Penganjur juga menyediakan tempat duduk istimewa berharga RM988 setiap satu dan terhad kepada 16 tempat duduk pada setiap malam persembahan.

Untuk maklumat lanjut hubungi talian hotline: +60182488184

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!