86147

Konsert Pertama Ruffedge Selepas 20 Tahun - Suria FM - Segalanya Hiburan

Berita baik buat peminat tegar kumpulan vokal Ruffedge, mereka bakal mengadakan konsert buat julung kalinya selepas 20 tahun tertubuhnya kumpulan yang digilai ramai itu.

Sempena meraikan 20 tahun penubuhan mereka, sebuah konsert untuk menghargai para peminat bakal berlangsung di KL Live Centre pada 4 Ogos 2018.

Mengikut rekod, kumpulan Ruffedge telah membawa haluan masing-masing sejak dari tahun 2008. Nama mereka sempat meletup dengan lagu-lagu popular seperti Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta, Lemas, Da’Bomb dan Khayalan.

Kini Ruffedge yang dianggotai oleh Zain, Cat, Sein, Azan, dan Mode bakal membuai kembali kerinduan anda pada mereka secara langsung.

Ruffedge sewaktu ditemui di sidang media pengumuman konsert mereka berkata, konsert ini teramat istimewa bagi mereka kerana ini merupakan konsert yang pertama sejak penubuhan kumpulan Ruffedge.

Ditanya kenapa megambil masa yang begitu lama untuk memberanikan diri muncul dengan sebuah konsert, Zain berkata inilah masa yang paling sesuai setelah mereka mengumpul segala pengalaman sejak dari 20 tahun yang lalu.

“Kalau 10 tahun lalu kami rasa kami belum layak untuk mengadakan konsert. Tetapi kini kami semua sudah matang dan sudah bersedia”, jelasnya.

Pada malam konsert itu nanti, Ruffedge bakal menyanyikan lagu-lagu popular mereka dan juga lagu-lagu yang mungkin jarang dipersembahkan sewaktu mereka masih aktif dahulu.

Menurut Sein, idea untuk mengadakan konsert ini timbul selepas mereka semua membuat persembahan istimewa di hari persandingan Nur Fazura dan Fattah Amin.

“Selepas dari persembahan itu, saya boleh katakan 90 peratus orang bertanyakan saya bila nak buat konsert? Jadi saya rasa inilah waktu yang paling sesuai untuk kami semua kembali bergabung. Ditambah dengan persembahan sewaktu AME 2018 baru-baru ini yang menguatkan lagi keyakinan kami untuk mengadakan konsert ini”, ujarnya.

Tambah Sein lagi sebelum ini mereka pernah merancang untuk membuat konsert, namun tidak kesampaian.

“Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang mengaturkan segalanya. Mungkin kalau kita buat konsert waktu itu, impaknya tidak seperti sekarang”, katanya.

Tak sabar pulak rasanya SURIA nak menonton konsert 20th Anniversary Ruffedge yang dibawakan oleh MRS Production dan KLP Creative Sdn Bhd ini pada 4 Ogos nanti. Istimewanya utuk konsert ini, penonton sudah boleh membeli tiket lebih awal iaitu bermula 4 Mei ini di www.ticketpro.com.my. Tiket-tiket berharga RM123 hingga RM233.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!