85537

Kumpulan Padi Bakal Adakan Konsert Di KL - Suria FM - Segalanya Hiburan

master-design

Buat pertama kalinya dalam sejarah penubuhan Padi sejak tahun 1997 kumpulan tersebut akan mengadakan konsert perdana mereka Padi Reborn Exclusive Live In KL yang dijadualkan berlangsung pada 30 Jun 2018.

Berdiri semula di atas nama Padi Reborn, dengan usia yang sudah menuai manis matang, kumpulan yang berasal dari Surabaya itu menjanjikan nikmat yang tidak sedikit untuk diraikan.

Deretan hit klasik seperti Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah atau Kasih Tak Sampai pasti akan diperdengarkan. Tidak sekadar itu, Padi Reborn menjanjikan hal yang lebih luar biasa buat Sobat Padi (nama khas buat peminat kumpulan Padi).

“Kami berasa cukup terharu dan senang sekali kerana buat pertama kalinya dengan memakai nama Padi Reborn, sebuah konsert solo kami akan dipersembahkan. Persembahan di Malaysia ini juga sebagai lambang apresiasi buat Sobat Padi yang tidak pernah lelah menyokong kami biar pada saat Padi vakum dan kini kembali. Kami berharap Sobat Padi Malaysia akan senang dan bergembira bersama menyanyikan lagu-lagu Padi” ujar Piyu selaku salah seorang ahli kumpulan.

Dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd, Pengarah Urusan syarikat tersebut, Iqbal, lebih berbesar hati kerana lamarannya untuk membawa Padi Reborn masuk ke Malaysia menerima kata sepakat yang baik daripada kumpulan tersebut. Sementelah, ini merupakan konsert sulung dan solo Padi Reborn yang begitu ‘mahal’ dan eksklusif sejak penubuhannya untuk beraksi di Malaysia.

Sementara itu, kumpulan Pitahati akan menjadi band undangan yang pastinya bakal memberi sebuah persembahan tidak kalah hebatnya.

Mengaku membesar bersama karya Padi, Pitahati yang masih ligat mempromosi karya terbaharu mereka, Selamat Datang Ke Panggung Suara memberitahu adalah satu penghormatan apabila diberi peluang menjadi band pembuka Padi Reborn yang sudah hampir 10 tahun tidak beraksi di Malaysia.

Sebagai informasi, Padi mempunyai lima studio album iaitu Lain Dunia (1999), Sesuatu Yang Tertunda (2001), Save My Soul (2003), Padi (2005) dan Tak Hanya Diam (2007). Kumpulan ini juga mempunyai album kompilasi yang berjudul The Singles yang dipasarkan pada tahun 2011.

Tidak sekadar mempunyai lima buah studio album yang kukuh dan membariskan hit yang luar biasa, kewujudan Padi tidak sekadar sebuah kumpulan muzik yang ‘kosong’ apabila menerima banyak pengiktirafan termasuk Best Favourite Group from Indonesia pada MTV Asia 2001, Kumpulan Terbaik pada Anugerah Planet Muzik 2001 selain menerusi album Sesuatu Yang Tertunda, Padi memperoleh Triple Platinum dari Sony Music Malaysia dan pada tahun 2004, album Save My Soul dinobatkan sebagai Album terbaik pada Anugerah Planet Muzik dan Duo/Kumpulan Terbaik dalam anugerah yang sama.
Terdahulu, Padi pernah bergabung dengan beberapa kumpulan tenar dari Indonesia yang lain termasuk Dewa 19 dan Gigi dalam konsert Pesta Malam Indonesia 3.

Tiket-tiket untuk menikmati untaian indah Padi Reborn Exclusive Live In KL pada 30 Jun depan sudah mula dijual dengan harga early bird RM149 atau RM179 untuk standard (Platinum) dan sesi meet and greet pula bagi early birds (RM249) atau RM290 untuk standard.

Semua tiket boleh diperoleh dengan melayari www.buytickets.com.my. PADI REBORN EXCLUSIVE LIVE IN KL dianjurkan oleh Qew Communications Sdn Bhd
Platform social media- IG: @padireborn_liveinKL
FB: Padi Reborn Exclusive Live In KL
YouTube: Padi Reborn Exclusive Live in KL

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!