97558

LAYLA SANIA TERUS MEWARNAI INDUSTRI MUZIK DENGAN “LAKARAN” - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kuala Lumpur –  Selepas mencuri perhatian penyanyi veteran, Sham Visa dalam sebuah rancangan realiti lewat nyanyiannya di dalam Bahasa Mandarin, penyanyi baru Layla Sania yang pernah muncul dengan single debut berjudul ‘Que Sera Sera’ pada Julai tahun lepas kini kembali dengan pertaruhannya yang terbaru. Kini pemilik nama sebenar Layla Sania binti Khairuzikri atau lebih mesra disapa sebagai Layla ini bakal muncul dengan single keduanya berjudul “LAKARAN”.

“LAKARAN” merupakan ciptaan penuh pencipta dan penggubah lagu Megat Fazly yang juga vokalis kumpulan pop-folk, Mafidz dan pernah menghasilkan lagu buat bintang tersohor, Nur Fazura. Berbeza dengan single debutnya ‘Que Sera Sera’ yang mengetengahkan muzik rancak, kini menerusi “LAKARAN” Layla mempertaruhkan lagu yang lebih lunak dengan susunan muzik minimalis. Layla yang berbesar hati diberi peluang bekerjasama dengan Megat Fazly dalam lagu “LAKARAN” ini turut menyatakan bahawa taruhan terbaharunya ini tidak lari daripada  genre dan jenis muzik yang diminatinya. Malah menyifatkan lagu “LAKARAN” yang disadur dengan susunan muzik berasaskan akustik ini menjanjikan bunyi segar dan sesuai dengan jiwanya.

Mengulas tentang lagu ini, penyanyi ini turut berkata, Lagu ini mengisahkan tentang pasangan yang saling melengkapi. Bagi Layla lagu ini bukan saja sesuai untuk pasangan kekasih atau pasangan suami isteri tetapi ia juga boleh menggambarkan hubungan sesama rakan dan ahli keluarga. Sebagaimana yang digambarkan dalam lirik lagu Lakaran ini, jika seseorang melukis lakaran, pasangannya pula tolong warnakan, mereka saling melengkapi dalam menghasilkan sebuah karya seni yang indah. Bagi Layla, ibu bapa Layla adalah contoh yang terbaik, walaupun Umi dan Walid sangat berbeza sifat dan karakter mereka tetapi perbezaan itu yang melengkapi kekurangan dan kelebihan masing-masing”. 

Baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada awal bulan ini, penyanyi yang bakal menginjak usia 18 tahun pada 22 November nanti, turut berkongsi rancangan masa depannya, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dengan pengkhususan utama dalam bidang pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas. “Walaupun Layla bakal sibuk dengan pengajian nanti, Layla akan terus aktif dalam kerjaya seni kerana menyanyi adalah cinta pertama Layla”, jelas Layla lagi yang berharap “LAKARAN” akan mendapat tempat di hati peminat.

Single “LAKARAN” terbitan dan edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula jam 12:00 tengah malam 20 MAC 2019.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...