84404

MANDATORI Setaraf Karya Hollywood & Korea - Suria FM - Segalanya Hiburan

Ibarat memnonton karya dari Hollywood dan drama Korea, itulah yang dapat SURIA simpulkan selepas menonton episod pertama drama eksklusif terbaru Astro First iaitu Mandatori.

‘Mandatori’, mini siri bergenre ‘crime thriller’ ini hadir dalam enam episod (berdurasi satu jam setiap satu) diterajui nama-nama besar seperti Aeril Zafrel, Siti Saleha, Alvin Wong, Iedil Putra, Dato’ A. Tamimi Siregar, Vanidah Imran, Susan Lankaster, Jo Kukathas, Meor Hashim Manap, Amerul Affendi, Chew Kin Wah dan ramai lagi. Drama ini diarahkan oleh Razaisyam Rashid dan diterbitkan oleh Astro dan Ideate Media

screen-shot-2017-12-14-at-3-56-01-pm

Drama ini diaptasi dari novel terkenal dengan judul yang sama tulisan novelis terkenal Ramlee Awang Murshid yang juga merupakan penulis Tombiruo.

‘Mandatori’ menjanjikan sebuah pengalaman terhebat untuk penonton oleh kerana jalan penceritaannya yang digarap kemas, disokong kuat dengan babak-babak yang mendebarkan dengan aksi-aksi suspen lagi ganas, dan yang paling utama, setiap adegan berjaya diterjemahkan dengan begitu baik sekali oleh kesemua pengemudi watak.

Drama ini mengisahkan tentang seorang ‘profiler’ jenayah, Inspektor Norman (lakonan Aeril Zafrel) yang menyiasat kes pembunuhan bersiri yang dilihat berkait rapat di antara satu sama lain. Ia membuka kembali kes-kes jenayah yang berlaku beberapa tahun lalu dan lebih merumitkan apabila setiap siasatan yang dijalankan Norman akan membawa beliau kepada sebuah lagi kes pembunuhan baru. Norman semakin keliru kerana seorang demi seorang yang beliau kenal mati dibunuh dengan kejam dan pembunuh itu akan meninggalkan petunjuk yang sama iaitu patung mainan ‘Inspektor Carlos’ dan kertas tulisan ‘Case Closed’ yang mana ada ketikanya dijumpai dalam bahagian badan si mati.

Dalam kesibukan Norman menjalankan penyiasatan dengan rakan setugas beliau, Detektif Chief Inspektor Kelvin Chan (lakonan Alvin Wong), beliau berkenalan dengan Juliana Johari (lakonan Siti Saleha) yang merupakan anak kepada salah seorang ahli perniagaan berjaya dan pemilik Johari Corp, Tuan Johari (lakonan Dato’ A. Tamimi Siregar) dan keluarga ini merupakan suspek utama kepada beberapa kes jenayah yang berlaku. Juliana yang pada mulanya tidak begitu menyukai kehadiran Norman mula berubah apabila risau akan tindak-tanduk adiknya, Johan Johari (lakonan Iedil Putra) yang dilihat semakin mencurigakan terutamanya apabila melibatkan kehilangan wang syarikat yang sangat ketara.

Juliana mula menyiasat dan beliau memerlukan bantuan Norman untuk menyelesaikan masalahnya. Keakraban yang tercetus ini membuatkan mereka jatuh cinta. Namun pelbagai dugaan dan ancaman yang hadir dari setiap penjuru menyukarkan lagi keadaan. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Juliana akan menjadi mangsa yang seterusnya? Dan, siapakah yang sebenarnya dalang di sebalik kes-kes pembunuhan bersiri yang berlaku?

Tak rugi jika anda melanggan drama ini kerana lakonan mantap yang diberikan oleh setiap pelakon terutamanya Aeril Zafrel dan Siti Saleha pasti membuatkan anda tidak sabar untuk menyaksikan episod yang seterusnya!

‘Mandatori’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 14 Disember 2017 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 19.10 (termasuk 6% GST), penonton boleh menikmati kesemua enam (6) episod dengan berulang kali dalam tempoh 5 hari dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Mandatori’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!