84857

Mari Meriahkan Karnival Cinta Masjid! - Suria FM - Segalanya Hiburan

poster-official

Nampaknya semakin ramai artis tempatan yang begitu prihatin dengan aktiviti kesenian serta riadah yang berkaitan dengan hal-hal keagamaan. Terbaru beberapa nama-nama besar industri seni seperti Datuk Rosyam Nor, Yasin Sulaiman, Andy Flop Poppy, Tam Spider, Azmi Saat dan Anas Tahir bakal memeriahkan Karnival Cinta Masjid 2018.

Karnival Cinta Masjid 2018 ialah sebuah inisiatif dari pihak Masjid Amru Ibni Al ‘As untuk mengangkat semula peranan masjid sebagai institusi penyebaran ilmu yang masih relevan di zaman moden ini. Objektif utamanya ialah untuk mendidik masyarakat untuk sama-sama memahami peranan ini, seterusnya membantu menyebarkannya kepada masyarakat lain. Karnival ini bakal berlangsung pada 2 dan 3 Februari 2018.

Program bakal dimulakan dengan perarakan Maulidul Rasul yang dikendalikan oleh ahli kariah Masjid Amru Ibni Al ’As. Seterusnya akan menyusul beberapa pertandingan seperti “Street Soccer”, Pertandingan Memasak dan Pertandingan Mewarna. Beberapa aktiviti lain yang berunsur riadah ialah berkuda dan memanah. Karnival Cinta Masjid 2018 juga bakal disajikan dengan aktiviti khas daripada Kidzania Kuala Lumpur.

Bagi sesi ilmiah, beberapa program telah diatur untuk dikongsikan kepada pengunjung seperti kelas bahasa arab, pengenalan asas tarannum, pameran khat dan kaligrafi islamik dan sebagainya. Pengunjung juga bakal disajikan dengan hiburan berunsur kerohanian daripada artis-artis terkenal tanahair seperti Yasin Sulaiman, Andy Flop Poppy, Tam Spider, Azmi Saat dan Anas Tahir.

Malam kemuncak Karnival Cinta Masjid 2018 bakal diakhiri dengan sebuah perbincangan ilmiah menerusi sebuah forum yang bertajuk “Peranan Masjid Sebagai Sebuah Institusi Penyebaran Ilmu”. Forum ini akan dikepalai oleh Datuk Rosyam Nor sebagai moderator dan ahli panel yang terlibat ialah Imam Muda Asyraf dan Ustaz Ebit Lew.

Program ini dikendalikan oleh Masjid Amru Ibni Al ‘As dengan kerjasama daripada AR By Azirun Ramly Sdn. Bhd. Antara pihak lain yang turut memberi kerjasama untuk menjayakan program ini ialah IM4U, Kidzania Kuala Lumpur, Siti Khadijah dan Al Amin Drinking Water. Pihak masjid juga telah memilih beberapa badan kebajikan untuk menerima sumbangan hasil daripada program ini.

Jadi marilah kita beramai-ramai menghadiri Karnival Cinta Masjid 2018 yang akan berlangsung pada 2 dan 3 Februari 2018.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!