
/wp-content/uploads/2018/08/Screen-Shot-2018-08-28-at-2.53.10-PM.png)
Pelakon jelita Maya Karin yang bakal muncul dengan filem seram paling ditunggu-tunggu Munafik 2 berkongsi kisah beliau ‘dirasuk’ oleh Jin Yahudi di set sewaktu penggambaran filem tersebut.
Maya yang membawakan watak seorang ibu tunggal bernama Sakinah telah dirasuk oleh Jin Yahudi akibat disihir oleh ketua ajaran sesat Abuja lakonan Nasir Bilal Khan.
Semalam pihak media telah berpeluang menonton filem Munafik 2 terlebih dahulu sewaktu tayangan perdana filem berkenaan.
Menonton lakonan Maya sebagai Sakinah, ramai yang terpegun melihat kehebatan Ratu Filem Seram itu beraksi sebagai perempuan kampung miskin yang tidak berdaya.
Maya memberikan persembahan yang begitu cemerlang terutamanya sewaktu adegan Sakinah dirasuk oleh Jin Yahudi sehinggakan penonton bersorak dan memberikan tepukan gemuruh selepas adegan itu tamat.
Malah Syamsul Yusof selaku pengarah mendedahkan bahawa suara Maya sewaktu berdialog untuk babak dirasuk itu tidak perlu sebarang penambahan bunyi kesan khas kerana Maya mampu melontarkan dialog dengan suara yang menyeramkan.
Menurut Maya segala teknik lakonan yang pernah dilakonkanya sewaktu membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam dibawah arahan Datin Paduka Suhaimi Baba digunakan sepenuhnya untuk melakonkan watak Sakinah.
“Sewaktu membintangi filam Pontianak Harum Sundal Malam, saya ada melakukan banyak latihan bersama Shumie. Sewaktu mula-mula dulu suara saya pun ‘kempis’ sangat. Shumie dah tunjukkan kepada saya teknikal lakonan macam mana nak menjerit, macam mana nak kawal suara. Juga dari pengalaman berlakon teater, jadi macam-macam suara saya boleh buat“, jelasnya.
Tidak keterlaluan dikatakan babak sewaktu Sakinah dirasuk oleh Jin Yahudi adalah antara ‘highlight’ untuk filem ini. Untuk menyiapkan babak itu sahaja, dua hari penggambaran diperuntukkan. Lebih membanggakan Maya melakukan sendiri aksi-aksi lasak di dalam babak itu termasuklah terbang dan memanjat pokok.
“Melakukan babak dirasuk itu sangat-sangat memenatkan dari segi fizikal. Saya perlu tergantung di atas pokok selama empat jam, ada sebuah kipas besar di bawah. Saya perlu memastikan Syamsul dengar dan faham setiap dialog saya dalam bahasa arab.
Sepatutnya babak itu harus disiapkan dalam masa sehari.Tetapi waktunya terlalu singkat dan saya perlu melihat dialog yang ditulis di atas sebuah kad yang besar. Jadi saya minta kepada Syamsul untuk berikan saya lagi 24 jam untuk saya balik rumah dan hafal setiap dialog.
Selalunya saya tidak meminta seperti itu kepada pengarah, tetapi kali ini saya tak boleh kerana ia adalah untuk kebaikan kedua-dua belah pihak. Alhamdulillah hari berikutnya saya dapat lakukan tanpa sebarang gangguan dan tidak perlu melihat dialog dari atas kad”, terangnya.
Begitulah hebatnya seorang pelakon seperti Maya Karin yang tidak mahu membuat sesuatu dengan sambil lewa. Hasilnya, babak itu betul-betul menyeramkan dan dijayakan dengan begitu hebat sekali.
Kalau anda nak tengok macam mana rupa Maya Karin dirasuk oleh Jin Yahudi, jangan lupa tempat tiket anda sekarang untuk menonton filem Munafik 2 yang bakal menjengah pawagam bermula 29 Ogos ini.