Bohemian Rhapsody adalah antara filem besar yang dinanti-nantikan tayangannya di seluruh dunia. Walaupun pada awal pembuatannya, filem ini banyak dirundung masalah, dari pemilihan aktor sehingga ke masalah pengarah, namun, semua badai pembuatannya telah berlalu dan hasilnya adalah sebuah filem yang gah dan menghiburkan.

Bohemian Rhapsody adalah sebuah filem biografi yang mengikuti suka-duka perjalanan hidup kumpulan legenda, Queen, dan penyanyi utamanya yang luar biasa, mendiang Freddie Mercury. Untuk para pembaca Suria yang tidak mengenali dua nama ini, jangan risau. Anda pasti pernah mendengar paling tidak dua lagu Queen iaitu ‘We Are The Champions’ dan ‘We Will Rock You.’

Seperti filem-filem biografi lain, tidak semua yang ditonjolkan di dalam filem benar-benar berlaku dan tidak semua kisah yang terjadi mampu dimuatkan dalam filem sepanjang 135 minit ini. Jadi, para peminat tegar Queen yang mencari perincian atau gambaran mendalam tentang kumpulan ini atau mendiang Freddie tidak akan menemuinya di filem Bohemian Rhapsody.

Tetapi gaya penceritaan filem yang selamat dan jumlah lagu-lagu terkenal yang mengisi filem ini memastikan filem ini sesuai untuk semua penonton, penggemar muzik atau tidak. Banyak momen-momen yang benar-benar hidup seperti babak konsert Live Aid yang epik dan membuat para penonton berasa seperti benar-benar berada di Stadium Wembley pada tahun 1985. Tidak kurang juga babak-babak yang membuat penonton seperti rasa mahu menyanyi bersama.

Pemilihan pelakon untuk filem ini juga perlu diberikan pujian. Para pemeran utama yang memainkan watak anggota kumpulan Queen, Gwilym Lee, Ben Hardy, Joseph Mazzello didandan persis Brian May, Roger Taylor dan John Deason. Rami Malek yang sebelum ini terkenal sebagai pelakon watak utama dalam siri TV terkenal Mr. Robot sangat mengagumkan sebagai Freddie Mercury.

Secara keseluruhan, Bohemian Rhapsody adalah sebuah filem yang gah, menghiburkan dan wajib ditonton, terutama sekali jika anda seorang peminat muzik, tetapi janganlah harapkan terlalu banyak kisah-kisah ‘juicy’ atau perincian mendalam tentang Queen atau Freddie Mercury ya? Suria pula harap akan ada edisi ‘sing along’ filem ini seperti filem Mamma Mia. Pasti seronok jika boleh menyanyi bersama para peminat Queen lain di dalam panggung wayang.

Bohemian Rhapsody akan mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 8 November 2018

sumbangan : Ili Farhana (Instagram @ili_fm)

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!