91600

Menyingkap Diari 2018 Neelofa Yang Penuh Kontroversi, Inspirasi & Menyayat Hati - Suria FM - Segalanya Hiburan

Apabila bercakap tentang figura yang satu ini, hampir satu Malaysia kenal siapa beliau. Noor Neelofa Mohd Noor, satu nama yang sangat popular di Malaysia malah di negara serantau. Jika tidak masakan beliau mempunyai pengikut laman sosial Instagram paling tinggi di Malaysia (5.8 Juta).

Menyingkap perjalanan pelakon, pengacara dan usahawan berjaya ini untuk tahun 2018, ia merupakan perjalanan yang penuh rencah dan asam garam sebagai seorang selebriti yang menjadi tumpuan ramai.

Pujian, kritikan, tohmahan, dan hinaan sering kali dilemparkan kepadanya, namun Neelofa tetap utuh berdiri megah bak daun keladi yang dicurah air tetapi tetap tidak tercalit sedikit pun sisa dik kekuatan diri.

Tahun 2018 dibuka dengan cukup cemerlang buat pemilik Naelofar Hijab ini. Beliau secara rasmi menyertai mesyuarat pertamanya di syarikat penerbangan tambang rendah Air Asia sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. Satu pencapaian yang cukup membanggakan buat seorang selebriti di Malaysia. Tidak cukup setakat itu, Neelofa turut menerima pengiktirafan sebagai seorang usahawan berjaya di Grandeur & Elegante International Business Award atas pencapaian membanggakan jenama Naelofar Hijab.

Tidak mudah sebenarnya untuk menjadi salah seorang daripada Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Air Asia. Banyak perkara yang saya perlu belajar dan hafal terutamanya perkara-perkara yang melibatkan penerbangan. Fail yang saya terima untuk dipelajari juga sangat tebal. Namun ini adalah satu pengalaman yang baik untuk saya yang boleh saya praktikakan untuk bisnes saya sendiri” – Neelofa

Meraikan usia 29 tahun pada bulan Februari, pastinya sambutan hari lahir untuk tahun ini bakal dikenang selamanya oleh Neelofa. Satu Malaysia bercakap tentangnya apabila sambutan yang diadakan di Zouk Kuala Lumpur itu menjadi tular, serta menghiasi muka hadapan akhbar serta tabloid tempatan selama seminggu. Berita itu juga adalah antara berita paling hangat untuk dunia hiburan sepanjang tahun 2018. Dimana-mana sahaja orang akan bercakap mengenai Neelofa. Malah mufti juga dihubungi pihak media untuk memberikan komen dan pendapat tentang majlis yang turut dianjurkan untuk melancarkan koleksi hijab terbaru yang diberi nama ‘Be Lofa’. Impak dari insiden itu, pengikutnya di Instagram dikatakan berkurang sebanyak 100 ribu. Malah Neelofa juga menerima surat terbuka dari Mufti. Namun Neelofa menghadapi kontroversi ini seperti seorang profesional.

Jika mahu menyingkap antara perkara yang paling menjadi ‘highlight’ dalam perjalanan hidup saya tahun ini salah satunya adalah kisah di Zouk” – Neelofa

Sebagai seorang selebriti yang sering kali diulit kontroversi serta spekulasi, Neelofa terpanggil untuk memperkasakan kempen kesedaran masyarakat tentang buli siber yang semakin berleluasa dikalangan rakyat Malaysia. Kempen ini turut disokong oleh beberapa rakan selebriti tempatan seperti Dato’ Hans Isaac, Nora Danish, Maya Karin, Scha Al-Yahya dan ramai lagi.

Antara perkara yang paling dibualkan tentang anak ketiga dari 9 beradik ini ialah fesyen yang sering digayakannya. Bukan sekali dua, namun hampir setiap bulan fesyen-fesyen yang digayakan oleh bekas Dewi Remaja 2011 ini menjadi tular di media sosial. Antara gaya yang mendapat perhatian netizen ialah sewaktu Neelofa menghadiri acara yang dianjurkan oleh portal fesyen STAIL.MY. Neelofa hadir ke acara itu menggayakan sut rona jigga terang rekaan Marc Jacobs bersama beg lilit berwarna merah jambu di pinggang. Gaya itu lantas menjadi bualan netizen yang mengkritik pilihan fesyennya. Gambar Neelofa menggayakan sut itu telah dimuatnaik oleh Marc Jacobs di laman Twitter jenama itu.

Turut menjadi perhatian ialah gayanya ketika menghadiri pertunjukan minggu fesyen Kuala Lumpur 2018. Berjalan di atas pentas memakai jaket bulu Maxmara serta duduk di bangku hadapan memakai sut merah menyala dari Gucci, apa sahaja yang digayakannya yang tidak menjadi tumpuan lensa kamera?

Namun yang paling menjadi tular ialah gayanya sewaktu bercanda di Maldives. Topi santai bersaiz gergasi yang digayakan Neelofa sewaktu bercuti di resort mewah Conrad telah menjadi bualan hangat di Malaysia tatkala dirinya sedang asyik menikmati percutian yang turut menjadi bualan hangat itu.

Antara gaya fesyen Neelofa yang lain yang turut menjadi bahan untuk netizen ‘membawang’ ialah turban yang digayakan di sebuah majlis di Paris yang turut digayakan oleh Beyonce, fotografi untuk jenama beg tangannya yang akhirnya dijadikan bahan lawak oleh netizen yang menyamakannya dengan sebuah beg serta baju yang dipakai di set Meletop yang disamakan dengan alas kaki.

Gaya serta fesyen yang sering digayakan saya adalah hasil perbincangan serta gabungan idea diantara saya dan penata gaya. Netizen sering bercakap serta kritik tentang fesyen saya, tetapi akhirnya mereka juga yang bergaya seperti itu. Tetapi saya kesal dengan sesetengah pihak yang cuba menjadikan gaya yang dipakai oleh saya sebagai salah satu strategi pemasaran untuk syarikat mereka. Ia sangat tidak beretika. Namun setiap apa yang mereka kata tentang saya saya pasti ada hikmah yang tertentu. Sebagai contoh sewaktu saya sedang berada di luar negara, mereka sedang ‘troll’ gambar saya dengan beg di atas kepala, namun dua hari selepas itu saya berjaya termeterai kontrak dengan dua buah agensi di sanaNeelofa

Neelofa juga tidak terlepas dari gosip cinta yang seringkali menghimpit dirinya. Sepanjang bergelar selebriti hanya ada dua nama jejaka yang paling dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengannya. Namun Neelofa kini dikatakan selesa bergelar ‘single’ malah sudah dua tahun beliau memegang status itu dan semakin selesa serta menikmatinya. Neelofa turut menafikan kembali menjalin hubungan cinta bersama bekas kekasihnya iaitu pelakon dan penerbit, Dato’ Hans Isaac seperti yang dispekulasikan oleh orang di luar sana.

I’m single now and happy! Dah dua tahun saya single dan saya rasa lebih tenang dan bahagia. Sebelum ini dah bertahun-tahun saya mempunyai ‘seseorang’ dalam hidup sejak dari zaman sekolah lagi. Ada juga orang yang cuba ‘kenen-kenen’ kan saya dengan seseorang. Tapi saya tidak suka cara sebegitu. Sebenarnya jodoh tuhan tiada siapa yang tahu. Lihat sahaja Priyanka Chopra, siapa sangka akhirnya beliau akan berkahwin dengan Nick Jonas. Their wedding was so beautiful! – Neelofa

Tahun ini juga Neelofa perlu berhadapan dengan saat yang paling sukar dalam hidupnya apabila datuk kesayangannya iaitu Haji Noor Mohamed kembali menghadap Ilahi pada 20 November  yang lalu. Hati mana yang tidak hiba apabila datuk yang selama ini dilihat seorang yang kuat dan aktif di depan mata tiba-tiba jatuh sakit dan pergi buat selama-lamanya. Datuk Neelofa menghidap penyakit kencing manis. Namun lebih kurang dua bulan lalu malang tidak berbau apabila datuknya terpijak sebentuk cincin di atas karpet. Kesan dari luka itu, mereka terpaksa memotong dua jari kaki datuknya. Namun siapa sangka kuman akhirnya merebak hingga ke bahagian organ dalaman sehingga akhirnya datuknya tidak lagi mampu bertahan dan pergi buat selamanya.

Saya sempat menjaga datuk di hospital beberapa minggu sebelum arwah meninggal. Sewaktu itu saya bergilir-gilir menjaga bersama sepupu. Ia antara pengalaman berharga yang saya akan kenang selamanya. Sewaktu itu arwah telah buang air besar. Dan kami masing-masing bertanya bagaimana harus menguruskannya. Namun salah seorang dari sepupu saya pernah melihat bagaimana jururawat menguruskannya dan kami akhirnya melakukannya bersama. Sepanjang melakukan proses itu, tidak sedikit pun terlintas perasaan geli di hati saya. Proses itu juga membuatkan saya lebih menghargai ibu bapa saya dan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Sewaktu arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya sedang bersiaran langsung di set Meletop. Pengurus hanya memberitahu saya sejurus program tamat dan saya terus bergegas pulang ke kampung. Kadang-kadang saya berasa sedikit canggung apabila mengenangkan mungkin ada waktunya saya kurang luangkan waktu bersama arwah jika pulang ke kampung kerana lebih banyak luangkan masa bersama sepupu. Baru-baru ini saya ada mimpikan arwah. Saya urut badannya dengan minyak dan kami berbual seperti biasa. Saya akan ingat mimpi itu sampai bila-bila. Saya juga akan ingat pesan arwah terutamanya dalam perniagaan supaya menjadi seorang yang amanah, jujur dan tidak mengamalkan riba– Neelofa

Baru-baru ini Neelofa kembali menjadi tular di media sosial apabila video beliau sedang menikmati makan malam bersama supermodel terkenal dunia, Bella Hadid dimuatnaik ke media sosial. Malah Neelofa adalah satu-satunya selebriti Malaysia yang diikuti oleh Bella di Instagram.

Saya rasa bertuah kerana dipilih diantara beberapa selebriti untuk makan malam bersama Bella Hadid. Saya rasa dia ‘follow’ saya mungkin kerana saya adalah individu yang dia paling kerap berkomunikasi di situ. Bella banyak bertanya saya tentang Islam dan Mekah. Dia turut berkongsi tempat yang paling digemarinya adalah masjid di Dubai kerana dia berasa sangat tenang sewaktu berada di sana. Bella juga suka dengan gaya turban yang saya gayakan dan mahu mencuba untuk memakainya  – Neelofa

Menjadi seorang Neelofa, pastinya sangat memenatkan. Hari-harinya padat dengan jadual yang sungguh ketat. Boleh dikatakan hampir setiap bulan beliau akan terbang ke luar negara bagi memenuhi tuntutan kerja atau undangan menghadiri pertunjukan fesyen jenama mewah antarabangsa. Percutian mewahnya di Maldives sahaja sudah jadi tajuk utama di blog-blog dan portal hiburan Malaysia. Ditanya dimanakah destinasi idamannya yang mahu dikunjungi, kata Lofa beliau akan ke Israel pada tahun hadapan untuk melawat Masjid Al-Aqsa.

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda pergilah ke tiga tempat ini di dalam dunia iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al- Aqsa. Sebenarnya saya mahu lihat sendiri peninggalan sejarah dari zaman Nabi yang masih ada di sana. Jika kita tidak berani pergi ke sana, lama-lama secara perlahan tidak akan ada langsung umat Islam yang akan sampai ke sana. InyaAllah saya akan pergi bersama ibu sempena hari Israk Mikraj” – Neelofa

Mengendalikan program hiburan secara langsung setiap malam Selasa iaitu Meletop selama 6 tahun bersama Nabil Ahmad merupakan antara kunci penting dalam kerjaya seninya. Baru sahaja memperbaharui kontraknya bersama program itu untuk musim terbaru, Neelofa pernah terfikir untuk menarik diri dari menjadi pengacara Meletop kira-kira dua tahun lalu.

Sejujurnya saya pernah terfikir untuk berhenti mengacara untuk Meletop sewaktu isu ‘Suri Hati Mr Pilot’ sedang hangat diperkatakan. Tetapi apabila saya fikir balik, ini adalah rezeki yang Allah berikan untuk saya. Ada orang lain yang bersusah payah untuk peluang ini. Jadi kenapa saya harus mengsia-siakannya – Neelofa.

Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya, namun ia bukan titik penghujung buat wanita pintar ini. Minggu hadapan beliau bakal terbang ke London untuk menandatangani kontrak bersama dua agensi antarabangsa di sana untuk menguruskan kerjayanya dalam bidang fesyen dan kecantikan untuk pasaran global.

Saya suka mencabar diri untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi. Peluang untuk melebarkan sayap di luar negara sudah pasti berada dalam senarai saya. Untungnya saya mengenali seorang ejen yang akan membawa saya menerjah pasarah Eropah. Beliau merupakan seorang berbangsa Perancis dan pernah bekerja di Amerika dan berkahwin dengan wanita dari Malaysia. Jadi beliau sudah faham dengan apa yang saya mahukan” – Neelofa

 

Langkah baharu juga turut diambil Neelofa untuk syarikat hijabnya, NH Prima. Mereka telah mengupah tenaga kerja baharu yang turut diambil dari luar negara bagi memperkasakan lagi jenama Naelofar Hijab pada tahun hadapan. Neelofa juga baru sahaja memenangi dua buah anugerah di Anugerah Nona Superwoman anjuran majalah Nona pada 4 Disember lalu, dimana Neelofa membawa pulang trofi ‘Insta Famous’ dan ‘Nona Hijab Award’.

Neelofa adalah contoh terbaik apa itu seorang figura terkenal. Cantik, bijak, bergaya, berjaya, popular, dipuji, dikeji dan disanjung. Semuanya ada pada Neelofa. Disebabkan nilai kesabaran yang tinggi serta kecekalan yang luar biasa menepis peluru kontroversi, Neelofa kini berdiri di dalam kelasnya yang tersendiri. Apa sahaja yang terkait dengan namanya pasti ‘menjadi’. Buktinya Lofar Bag jalinan kerjasamanya bersama Sometimes habis dijual! Bilangan pengikut di Instagram beliau juga kembali naik mencanak dan terus mengekalkan nama Neelofa sebagai pemilik akaun Instagram paling diikuti di Malaysia.

Neelofa juga wanita berhijab pertama yang menghiasi muka depan majalah berbahasa Cina Citta Bella untuk isu September 2018.  Pada tahun ini juga Neelofa dipilih untuk menjadi selebriti kedua di dunia selepas Lady Gaga untuk menyertai kempen kebajikan bersama Starbucks.

Bagi menghargai para wartawan yang sering menyiarkan berita serta kisah tentang dirinya, pihak media telah diundang oleh Neelofa untuk menghadiri sesi makan tengah hari bertempat di sebuah restoran di hotel terkemuka ibu negara.

Sambil menjamu selera, kami berkongsi dari hati ke hati tentang perjalan seni, karier serta kehidupan peribadi anak jati Kelantan ini. Ya! jadualnya yang sentiasa padat membuatkan agak sukar untuk pihak media mendapatkannya untuk sesi temu bual. Jadi sesi santai ini kami gunakan sebaiknya untuk berkongsi berita, cerita serta suka duka bersama.

Semoga tahun hadapan diari kehidupan insan bernama Neelofa yang akan menginjak ke era usia 30an ini akan dicoretkan dengan kisah yang penuh  inspirasi kepada semua baik dari segi perniagaan, seni dan peribadi. Selamat meneruskan kejayaan di luar negara dan terus harumkan nama negara, bangsa dan agama.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!