Impian peminat tegar ketiga-tiga penyanyi pemilik vokal hebat iaitu Misha Omar, Siti Sarah dan Noryn Aziz untuk melihat mereka beraksi di konsert berskala besar akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Mereka bertiga bakal bergabung dalam satu konsert yang diberi nama Soul Sisters yang akan dianjurkan pada 5 & 6 April 2019 bertempat di Panggung Sari Istana Budaya Kuala Lumpur.

Menampilkan genre muzik soul dan R&B, konsert unik dan hebat itu akan diterbitkan oleh syarikat produksi persembahan Edd Razhe Entertaiment (ERE).

Menurut Pengarah Urusan ERE iaitu Edd Razhe atau lebih dikenali sebagai Abang Edd, pemilihan ketiga-tiga penghibur popular Malaysia itu dibuat berdasarkan reputasi serta kemampuan mereka menyanyi secara ‘live’ termasuk mendendangkan lagu bergenre soul dan R&B selain berkemampuan menyampaikan lagu-lagu Inggeris dengan hebat.

Bagi saya ketiga-tiga penyanyi ini sudah lama mencipta nama di rantau ini dan sudah sampai masanya mereka diberi peluang untuk beraksi dalam konsert berprestij di pentas Istana Budaya. Sebagai satu kelainan, ETE mengorak langkah menggabungkan mereka buat pertama kalinya sebagai Soul Sisters, khusus untuk tatapan peminat“, katanya.

Tambah Edd Razhe lagi, konsert yang akan berlangsung selama dua jam itu akan mengetengahkan beberapa segmen menarik dan kesemua mereka akan diiringi oleh sekumpulan pemuzik profesional pimpinan Dato Nasser Abu Kassim. Selain itu konsert Soul Sisters juga bakal menggabungkan kepakaran teknikal, penataan cahaya, visual dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

Tanggungjawab sebagai pengarah vokal pula diberikan kepada pensyarah dan penyanyi terkenal Datuk Syafinaz Selamat.

Tiket-tiket berharga RM755 (Meet & Greet) , RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah mulai 8 November 2018 menerusi www.airasiaredtix.com

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!