89406

Munafik 2 Mendidik Di Balik Unsur Seram - Suria FM - Segalanya Hiburan

Peminat filem Malaysia pasti sudah tidak sabar untuk menyaksikan sambungan filem Munafik yang satu ketika dahulu pernah menjadi satu fenomena dalam dunia penerbitan filem seram Malaysia.

Setelah lama digembar-gemburkan, Munafik 2 akhirnya muncul di pawagam dengan jalan cerita yang sedikit berbeza daripada filem yang pertama.

Kali ini Munafik 2 menampilkan seorang heroin baru lewat sosok bekas pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Maya Karin di samping beberapa nama besar lain seperti Nasir Bilal Khan, Rahim Razali dan juga Mawi.

Seperti promosi treler filemnya yang banyak membuat orang panasaran, filem ini sama sekali tidak mengecewakan. Ia masih mampu membuat penonton, tergamam dan terkejut dengan adegan-adegan seram yang dipaparkan.

Malah perlu dipuji kesemua bintang yang terbabit dalam filem ini kerana berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan begitu baik.

Selain watak antagonis Nasir Bilal Khan yang sangat meyakinkan, lakonan hebat Maya Karin benar-benar menakjubkan dan ramai menjangka Maya mungkin bakal meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekali lagi di Festival Filem Malaysia yang akan datang.

Ramai yang sudah menonton filem ini begitu kagum melihat babak di mana watak Maya yang bernama Sakinah dirasuk syaitan dan bertarung dengan Ustaz Adam lakonan Syamsul Yusof. Ternyata, unsur seram yang diinginkan, hidup lewat watak Sakinah dan juga beberapa adegan lain dalam filem yang tidak kurang hebatnya.

Biarpun begitu, seperti kata pengarah dan juga pelakon utamanya, Syamsul Yusof, Munafik sebenarnya sebuah filem dakwah yang mempunyai unsur seram dan bukanlah filem ‘hantu’ semata-mata. Seperti filem-filem antarabangsa umpama ‘The Exorcist’ dan ‘The Exorcism of Emily Rose’, Munafik serta Munafik 2 banyak memberi pengajaran tentang pendidikan dan amalan agama serta cara-cara mempertahankan diri dari sihir dan kesesatan.

Di situ, Syamsul telah berjaya memberikan lebih banyak nilai positif kepada penonton dan bukanlah sekadar menghibur sahaja.

Suria juga ingin memuji lakonan penyanyi dan kini penyampai radio, Mawi yang berjaya membawa wataknya dengan begitu baik dan sangat meyakinkan.

Sungguhpun begitu, ini tidak bermakna Munafik 2 sudah sempurna kerana masih terdapat beberapa ruang yang boleh diperbaiki untuk menjadikan suasana cerita dalam filem lebih dipercayai.

Walau bagaimanapun, biarlah penonton sendiri yang menilai filem ini dan lihat apa reaksi yang bakal diberikan orang ramai.

Jadi tunggu apa lagi? Saksikan kehebatan Munafik 2 di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 29 Ogos ini!

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!