72466

Nisan Cinta Siti Nordiana dan Jaclyn Victor Bakal Jadi Siulan Ramai - Suria FM - Segalanya Hiburan

nisan-cinta-cover-art

Sejak menjuarai Gegar Vaganza musim kedua, nama penyanyi Siti Nordiana terus melambung tinggi dalam industri muzik tempatan. Terbaru, penyanyi yang bersuara nyaring ini telah berganding dengan seorang lagi penyanyi bervokal hebat iaitu, Jaclyn Victor.

Mereka berdua disatukan dalam sebuah lagu ciptaan ciptaan penyanyi yang kian popular Hael Husaini, serta komposer-komposer hebat iaitu Ezra Kong dan Mike Chan.

Lebih menarik, lagu yang dihasilkan di bawal label Raksasa Records ini juga terpilih untuk dijadikan lagu teledrama berjudul Dendam Aurora, yang mula bersiaran pada 25 Julai ini selama 100 episod. Drama hasil lakonan Nabila Huda, Ungku Ismail Ungku Aziz dan Anzalna Nasir itu akan disiarkan untuk slot Tiara di Astro Prima & Maya HD, setiap hari Isnin hingga Jumaat, selama sejam bermula bermula jam 6 petang.

Berkongsi pengalaman mereka tatkala merakamkan lagu itu Jun lalu, Siti Nordiana yang lebih mesra dipanggil Nana mengakui kelainan yang ada pada melodi lagu itu membuatkan dirinya terus bersetuju untuk merakamkan lagu itu tanpa perlu berfikir panjang.

“Sebaik sahaja mendengar melodi dan liriknya, hati saya terus bersetuju untuk merakamkan lagu itu. Melodi lagu ini sangat kuat dan liriknya juga sangat mendalam. Dengar demo sahaja saya dapat rasakan kelainan yang ada pada melodinya. Dapat pula bekerja dengan Jac, lagilah meyakinkan untuk saya menerima tawaran yang diberikan kerana kita tahu kuasa vokal beliau yang saya pasti dapat menyedapkan lagi lagu ini,”kata Nana yang juga bekas juara program realiti Gegar Vaganza musim kedua ini.

Belum berpeluang berpadu suara dengan penyanyi wanita lain untuk sebuah lagu baharu, Nana berkata projek Nisan Cinta ini juga satu cabaran buatnya.

“Sebelum ini Nana pernah berduet dengan Syura tetapi lagunya lebih kepada irama tradisional dan Nana sudah biasa dengan genre tersebut. Bila dikehendaki merakamkan lagu berentak waltz, pastinya pembawakannya lain sedikit. Orang mesti ingat bila membabitkan kami berdua, pasti akan ada nada tinggi.

“Memang ada bahagian kami kena menyanyikan nada tinggi namun ia bukanlah sekadar tarik suara sahaja. Kami kena pastikan, suara kedengaran harmoni. Justeru, bahagian saya, walaupun tinggi tetapi perlu ada kelembutannya manakala bahagian Jac, lebih power,”ujarnya.

whatsapp-image-2017-07-26-at-12-28-58-pm

Untuk menghayati liriknya, Nana berkata selain berdasarkan cerita dan gambaran yang diberikan komposer, dia juga membuat kaji selidik sendiri seperti melihat laman sosial Nabila untuk melihat klip-klip pendek drama terbabit yang sudah pun dirakamkan aktres berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya bagaimana proses rakaman dijalankan, Jac yang juga bekas juara program realiti Malaysian Idol musim pertama memberitahu ia dibuat secara berasingan.

“Kami tidak rakam serentak sebaliknya dibuat pada hari yang berlainan. Saya masuk studio dahulu dan rakamkan keseluruhan lagu. Kemudian beberapa hari selepas itu, komposer akan memastikan mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki, dibuat semula. Selepas Nana merakamkan lagu itu sepenuhnya dan melalui proses yang sama, barulah mereka pecahkan dan bahagikan bahagian mana yang sesuai sebelum lengkap menjadi sebuah lagu,”kata Jac.

Mengakui sangat berpuas hati dengan hasilnya, Jac menaruh keyakinan yang sangat tinggi bahawa lagu itu mampu pergi jauh serta mendaki carta populariti.

“Memandangkan ia dijadikan lagu runut bunyi untuk sebuah teledrama dan ruang promosi yang diberikan kelak sangat besar, saya yakin lagu ini pasti hit,”ujar penyanyi bersuara lantang ini.

Dibalut dengan ritma yang menyentuh perasaan dan diiringi melodi piano dan gesekan biola, Jac dan Nana melantunkan setiap bait-bait lirik dengan penuh jiwa dan dapat dirasa menusuk dalam hati sekali gus membuat pendengar larut dengan emosi yang dicipta kedua wanita ini.

Khas buat peminat Siti Nordiana dan Jaclyn Victor, lagu ‘Nisan Cinta’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun disemua digital platform iTunes, Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox.

whatsapp-image-2017-07-26-at-12-28-58-pm-1

Untuk pautan selanjutnya bagi digital platform ‘Nisan Cinta’: https://wmm.lnk.to/nisancinta

Ini pula pautan bagi muzik video ‘Nisan Cinta’ : https://youtu.be/1fvkV6RNn4o

 

Untuk lebih banyak buletin hiburan dan berita sensasi klik di sini

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!