
/wp-content/uploads/2017/11/Screen-Shot-2017-11-20-at-3.06.44-PM.png)
Berita tentang perkahwinan dua bintang popular siapa lagi kalau bukan Nur Fazura dan Fattah Amin kembali hangat diperkatakan apabila mereka dikhabarkan telah bernikah pada 14 November lalu.
Memetik laporan yang dikeluarkan oleh Utusan Online, ada sumber yang memberitahu mereka bahawa Fazura dan fattah telah selamat diijabkabulkan pada pukul 12.30 malam, 14 November lalu di kediaman nenek Fazura.
Dengan hanya sekali lafaz dan berwalikan salah seorang abang kandung Fazura sendiri, pernikahan pasangan itu berjalan dengan penuh sederhana tetapi sempurna.
“Benar, mereka telah dinikahkan dalam suasana sederhana sekitar pukul 12.30 malam pada tarikh itu dengan abang sulung Fazura sendiri menjadi wali pernikahan adiknya itu.
“Mereka bukan berkahwin dalam keadaan tergesa-gesa sebagaimana yang dianggap setengah pihak, sebaliknya memilih untuk mempercepatkan majlis tersebut beberapa hari lebih awal,” beritahu sumber tersebut.
Menurut sumber yang sama, pada awalnya majlis pernikahan dirancang untuk diadakan di Tanah Suci Mekah tetapi pada saat-saat akhir keputusan diubah pada hari pertunangan mereka. Pasangan itu bertunang sehari sebelumnya, iaitu pada 13 November di lokasi yang sama.
“Perancangan untuk bernikah sudah dibuat sekitar tiga minggu lalu. Ikut perancangan mereka akan bernikah di Tanah Suci tetapi ia tidak boleh dijalankan di sana.
“Oleh itu, pada hari pertunangan mereka pada 13 November lalu, keluarga telah membuat keputusan untuk pernikahan dipercepatkan beberapa hari sebelum Fattah dan Fazura bersama keluarga berlepas untuk mengerjakan umrah,” jelas sumber yang sama.
Bagaimanapun sehingga kini, baik Fattah mahupun Fazura belum membuat sebarang pengesahan atau pengumuman rasmi mengenai status terkini mereka.
Malah, pihak pengurusan kedua-dua belah pihak juga hanya mendiamkan diri dan menjelaskan majlis yang berlangsung di kediaman nenek Fazura itu hanyalah kenduri doa selamat sempena pemergian pasangan ini ke Tanah Suci.
Fattah dan Fazura bersama kedua-dua keluarga berlepas untuk mengerjakan umrah pada 15 November dan dijangka pulang pada 23 November depan.
Pada hari keberangkatan Fazura dan Fattah ke tanah Suci, pihak media telah menerima undangan untuk ke sidang media khas yang akan dilakukan oleh pasangan ini pada 23 November nanti.
Tarikh itu dikatakan bakal menjadi tarikh bersejarah bagi seluruh peminat pasangan ini. Sama-sama kita nantikan apa yang bakal dijelaskan pada sidang media itu nanti.
Sementara itu, pelakon veteran Fauziah Nawi telah memuatnaik status di Facebook beliau tentang berita pernikahan Fazura dan Fattah. Fauziah Nawi telah mengucapkan tahniah kepada editor hiburan Mingguan malaysia iaitu Dato Tengku Khalidah Tengku Bidin kerana telah berjaya mendapatkan berita eksklusif tentang pernikahan Fazura dan Fattah.
Apa-apa pun kita tunggu pengesahan dri mulut tuan punya badan sendiri pada 23 November ini okay.
Sumber : Utusan Online