90341

Nur Fazura Menang Besar Di ABPBH31, Rangkul Tiga Anugerah. - Suria FM - Segalanya Hiburan

Biarpun tidak membawa pulang anugerah Bintang Paling Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH31), namun aktres dan penyanyi popular Nur Fazura telah menang besar pada malam itu.

Fazura telah membawa pulang tiga anugerah iaitu Pelakon TV Wanita Popular berserta dua anugerah ketegori online, Pasangan Serasi Drama (bersama Fattah Amin) dan Pasangan Serasi Filem (Bersama Zul Ariffin).

Kemenangan ketiga-tiga anugerah itu pada malam semalam telah menjadikan pelakon Hero Seorang Cinderella ini sebagai artis yang membawa pulang paling banyak trofi pada malam semalam.

Fazura sewaktu ditemui di sidang media sejurus tamat majlis berkata beliau tidak menyangka akan membawa pulang tiga anugerah sekaligus.

“Jujurnya saya dan Fattah hadir pada malam ini adalah untuk memberi sokongan kepada Berita Harian dan juga untuk peminat-peminat kami yang siang malam bersengkang mata menyokong kami. Tapi Alhamdulillah rezeki daripada Allah s.w.t dengan izin dan perkenan-Nya”, ujarnya.

Tahun ini buat pertama kalinya, nama Nur Fazura membolosi Top 5 kategori Penyanyi Wanita Popular bersaing bersama Siti Nordiana, Wany Hasrita, Ara dan Stacy.

“Saya berterima kasih kepada Berita Harian kerana mencalonkan saya untuk kategori Penyanyi Wanita Popular. Sejujurnya saya tidak meletak harapan langsung untuk kategori ini kerana yang sama-sama berada di dalam kategori itu adalah penyanyi-penyanyi yang sudah lama menyanyi dan kita sudah tahu bakat dan kredibiliti serta pengalaman mereka. Saya pula masih baru, masih belajar, baru satu album”, terangnya.

Tahniah SURIA ucapkan kepada Nur Fazura dan peminat-peminatnya di atas kejayaan merangkul tiga anugerah pada malam ABPBH31.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!