72554

Pak Nil Kembali Mengemudi Akademi Fantasia - Suria FM - Segalanya Hiburan

Umpama sirih pulang ke gagang, ‘AF Megastar’ juga bakal menyaksikan kepulangan pengacara tersohor yang begitu sinonim dengan keluarga ‘AF’ iaitu Datuk Aznil Haji Nawawi atau cukup dikenali dengan nama Pak Nil untuk mengemudikan edisi khas ini sebagai pengacara.

Siapa lagi yang lebih layak untuk mengemudi kerusi pengacara AF Megastar kalau bukan pengacara asalnya sendiri. Pak Nil juga adalah salah satu tunjang utama kekuatan rancangan yang pernah mencetus fenomena mega satu ketika dahulu.

 

Salah satu kelebihan Pak Nil adalah kepintarannya mengawal keadaan dan situasi. Siapa yang tidak pernah terasa seakan diserang sakit jantung sewaktu Pak Nil cuba mengumumkan peserta yang bakal tersingkir? Usikan manjanya juga sering mengundang ketawa penonton. Itu belum lagi dikira berapa gelen air mata rakyat Malaysia yang berjurai dek penangan psikologi yang dimainkannya sewaktu mengacara Akademi Fantasia.

screen-shot-2017-08-23-at-2-37-11-pm

Pak Nil sewaktu ditemui di sidang media AF Megastar berkata, di awal-awal musim AF, beliau telah memberikan seluruh jiwa raganya kepada rancangan itu.

“Pak Nil bekerja dari pagi hingga ke tengah malam. Pak Nil mengacarakan Diari AF dan Pak Nil juga pengacara untuk konsert. Malah Pak Nil turut berada di belakang tabir untuk membuat suntingan”, jelasnya.

Kini misinya adalah untuk menagih kembali tontonan seisi keluarga sebagaimana yang pernah berlaku kepada penonton AF suatu ketika dahulu.

screen-shot-2017-08-23-at-2-48-09-pm

“Bila Pak Nil keluar daripada AF, AF menjadi tontonan remaja, golongan ibu dan anak-anak kecil sudah kurang menonton sebab mereka mempunyai jenis tontonan yang lain. Pak Nil nak saksikan Inshaallah, famili duduk balik menonton AF di rumah”, pintanya.

Saat ditanya apakah yang akan diberikannya untuk AF Megastar kali ni, katanya beliau sendiri tidak mampu menjangkakan apa yang akan berlaku kerana ia semua spontan.

“Kalau ada yang kena ‘boo’ itulah Pak Nil masuk, kalau ada yang kena jerit, itulah yang Pak Nil jeritkan lagi, kalau ada yang kena maki dengan pengkritik, itulah yang akan Pak Nil pertahankan. Pak Nil jadi ‘abang besar’ la kat situ”, katanya dalam nada berseloroh.

screen-shot-2017-08-23-at-2-48-48-pm

Tambah Pak Nil lagi kali ini beliau mengambil risiko kerana perlu berhadapan dengan tembakan peluru netizen yang menanti masa untuk menyerang andai ada sesuatu yang menyentuh mereka.

“Pak Nil beruntung zaman Pak Nil jadi pengacara tiada media sosial. Pak Nil bebas daripada peluru-peluru yang menembak. Bila kita buat sesuatu pasti ada orang yang suka dan sebaliknya.

Bagi Pak Nil pengalaman yang dilalui akan membuat Pak Nil jadi lebih kuat. Yang penting Pak Nil cuma harap jangan ada hilang rasa hormat kepada orang yang lebih tua. Pak Nil boleh terima teguran cuma jangan hilang rasa hormat”, jelasnya.

paknil

Mengimbau kembali zaman pengacaraannya sewaktu di AF, Pak Nil turut menyesali kesilapannya tersalah mengumumkan peserta yang tersingkir sewaktu konsert AF musim kedua. Pak Nil telah mengumumkan Zahid sebagai peserta yang tersingkir sedangkan nama yang tertera di atas kad adalah Fitri.

“Sehingga sekarang Pak Nil tak dapat memaafkan diri Pak Nil atas kesalahan itu. Pak Nil pun tak tahu macam mana Pak Nil boleh umumkan nama Zahid pada ketika itu”, sesalnya.

Saat ditanya penyingkiran peserta manakah yang paling sukar buat dirinya, katanya ia berlaku sewaktu konsert AF musim pertama dimana Rosma terpaksa meninggalkan AF pada konsert keenam.

“Pak Nil tak pernah diberitahu siapa yang tersingkir, bila nama Rosma ada diatas kad itu Pak Nil terfikir akan berlaku huru hara kah nanti? ada orang baling kerusi tak? Pak Nil cuba redakan keadaan terlebih awal sebelum semua itu berlaku”, terangnya.

Kata Pak Nil disebabkan penyingkaran Rosma, satu Malaysia kenal Akademi Fantasia dan satu Malaysia ada Astro.

screen-shot-2017-08-23-at-2-51-22-pm

Sewaktu musim kelima, Pak Nil tiba-tiba telah membuat pengumuman yang menggemparkan satu Malaysia apabila beliau mengumumkan penarikan diri selaku hos Akademi Fantasia.

Kerusi panas sebagai hos Akademi Fantasia pastinya diidamkan oleh setiap pengacara di Malaysia. Tetapi akhirnya tempat Pak Nil digantikan oleh Dato AC Mizal (Musim ke 6-7, Jimmy Shanley (Musim ke 8), Sarimah Ibrahim (Musim ke 6,7,8), Zizan Razak (AF 2013, 2014, 2015, 2016), Faizal Ismail (AF 2014,2015) dan Alif Satar (AF 2016). Namun sayangnya tiada pengacara AF yang mampu bertahan lama seperti Pak Nil.

Jangan lupa saksikan Pak Nil sebagai hos Akademi Fantasia Megastar bermula 3 September 2017.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!