90812

Peminat Menangis Mahu Siti Sarah Ke Pentas AJL - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi popular Siti Sarah Raissudin telah berjaya melangkah ke peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 33 menerusi lagu hit Semakin yang akan berlangsung pada 9 November ini.

Menyingkap sejarah pembabitan penyanyi bertubuh genit ini di pentas separuh akhir muzik-muzik, banyak lagu-lagunya telah berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir seperti Kesetiaan, Saat Hilang Cintamu, Bersamamu dan Menari Denganku.

Namun peluang untuknya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) belum kesampaian sehingga ramai peminatnya berasa sedih dan meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu Semakin tahun ini.

“Sebenarnya beberapa minggu lepas kelab peminat saya ada anjurkan parti hari jadi. Masa nak balik, mereka menangis dan berkata kepada saya mereka sangat berharap tahun ini saya berjaya ke AJL. Saya rasa terlampau terharu, dan akan cuba buat yang paling termampu”, jelas Sarah ketika ditemui di sidang media SFMM33.

Ada juga pihak yang mengatakan Siti Sarah seakan terkena badi AJL apabila sering kecundang di peringkat separuh akhir.

“Saya tidak percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Saya percaya pada rezeki dan siapa yang mengizinkannya. Saya tidak percaya kepada badi, sial dan sebagainya”, ujarnya.

Bakal menyanyikan lagu ciptaan suami sendiri iaitu Shuib atau nama penanya Mera Utama, Sarah tidak mahu jadikan itu sebagai alasan untuk dirinya meletakkan tekanan yang terlampau tinggi.

“Saya tidak mahu jadikan perkara ini sebagai tekanan. Saya hanya mahu ‘have fun’ di atas pentas nanti. Saya akan cuba untuk sampaikan lagu itu semudah mungkin”, katanya.

Tahniah SURIA ucapkan kepada Siti Sarah dan Shuib kerana berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 33. Semoga rezeki dan tuah berpihak kepada kalian berdua tahun ini untuk melangkah ke pentas AJL. Tak sabar SURIA nak tontotn persembahan Sarah nanti. Semoga berjaya!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!