72128

Pesanan Atilia Buka Mata Imran Ajmain Tentang Dunia Hiburan - Suria FM - Segalanya Hiburan

Jika diamati dengan teliti, nama penyanyi yang dahulunya pernah hit dengan lagu ‘Seribu Tahun’ iaitu Imran Ajmain semakin luntur di dada akhbar tetapi kali ini beliau muncul kembali!

Baru-baru ini kami di SURIAfm sempat menemu ramah Imran Ajmain ketika majlis pelancaran My Sucre Story yang diadakan di SukaSucre Bistro.

Apabila ditanya  ke manakah hilangnya beliau selama ini, Imran hanya menjelaskan selepas satu kejadian yang menyedihkan dalam hidupnya, beliau semakin perlahan mengorak langkah dalam bidang hiburan tetapi lebih memberikan fokus kepada bidang perniagaan bersama Dato’ Fazley Yaacob.

“Saya sudah berada di bawah syarikat milik Dato’ Fazley iaitu SukaSucre sejak enam tahun lalu dan selepas saya kehilangan ayah saya empat tahun lalu, ia telah membuatkan saya untuk lebih memberikan fokus terhadap bidang perniagaan dan keluarga sahaja.”

Beliau juga sempat meluahkan tentang rasa keinginannya untuk teruskan berkarya apabila sebelum ini lagu-lagu hit Imran Ajmain sering diputarkan di corong-corong radio dan bidang nyanyian tidak akan pernah padam dalam dirinya.

“Sebagai seorang penyanyi, saya tidak boleh lari dari keinginan untuk sentiasa berkarya dan berada diatas pentas walaupun pada masa kini sudah ada ramai penyanyi baru yang memiliki jumlah tontonan yang tinggi di laman Youtube tetapi itu tidak mematahkan semangat saya.”

ah-2

Imran juga menegaskan bahawa beliau ada mempelajari sesuatu dari penyanyi wanita, Atilia tentang kerjaya sebagai seorang penghibur tanah air.

“Saya ada belajar sesuatu dari Atilia dan beliau ada berpesan kepada saya jika kita mempunyai sikap yang terlalu mementingkan pengiktirafan semata-mata, kita pasti akan sentiasa dibelenggu dengan perasaan kecewa terhadap diri sendiri kerana ia telah bercanggah dengan objektif utama kita iaitu berkarya.”

Apa yang difahamkan, Imran Ajmain bakal mengeluarkan single terbarunya dalam tempoh tiga hingga ke empat minggu lagi dengan kolaborasi bersama penyanyi wanita, Najwa Mahiaddin.

Kami di SURIAfm pasti kemunculan Imran Ajmain selepas ini akan melonjakkan namanya kembali seperti mana lagu-lagu hit beliau sebelum ini sentiasa mendapat tempat dihati pendengar.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!