72310

Rahmad Mega Bakal Tunaikan Umrah Untuk Arwah Deddy Dores - Suria FM - Segalanya Hiburan

rahmad1

Perjalanan seni insan bernama Rahmad bin Tohak kini meniti laluan baru. Selepas membuat kemunculan semula dalam rancangan Gegar Vaganza beberapa tahun lalu, vokalis kumpulan rock 90-an Mega ini terus mengorak langkah untuk kekal relevan dalam industri hiburan tempatan.

 

Langkah itu akhirnya menemui takdir sendiri nun jauh di negara jiran, Indonesia. Disusuri beberapa kebetulan yang indah, Rahmad dipertemukan dengan seorang komposer wanita Indonesia yang juga seorang mualaf, Cahaya Bunga Saragih, yang sudah lama menyimpan sebuah lagu rakaman penyanyi tersohor Indonesia, Allahyarham Deddy Dores di penghujung hayatnya. Lagu yang diinspirasi dari pengalaman luar biasa Cahaya ketika di Mekah itu dianggap sebuah karya agung yang suci dan keramat.

 

Tapi entah kenapa dalam tempoh itu amat sukar untuk Cahaya menemukan pasangan duet sesuai yang layak dan tepat untuk digandingkan dengan vokal dan jiwa Deddy, sehinggalah dia bertemu Rahmad. Sebaik mendengar alunan vokal bernada tinggi Rahmad yang mirip dengan Deddy dalam lagu berkenaan, Cahaya merasakan Rahmad adalah pelengkap terbaik untuk lagu itu yang diberi judul Sajadah Ka’bah.

 

rahmad4

“Saya sangat teruja ketika Cahaya menawarkan saya untuk menyanyikan lagu berkenaan, apatah lagi telah sekian lama saya mencari lagu berunsur ketuhanan yang sesuai dengan jiwa dan pengalaman hidup saya”, kata Rahmad ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu berkenaan di Jakarta.

 

Rahmad yang kini mempunyai perniagaan di Jakarta, telah pun menemui keluarga Allahyarham Deddy Dores untuk memohon restu bagi menyanyikan lagu berkenaan. Lebih mengujakan, kehadiran Rahmad diterima dengan hati terbuka oleh bukan sahaja keluarga, bahkan rakan-rakan yang pernah bekerja dengan Allahyarham Deddy Dores juga. Ini terbukti apabila mereka memberi nama dan gelaran baru kepada Rahmad, iaitu Dores Rahmad Agung.

rahmad2

“Saya terharu dan rendah diri dengan pengiktirafan ini dan telah menanam hasrat untuk menunaikan umrah untuk Allahyarham yang tertangguh sebulan sebelum arwah kembali ke rahmatullah pada Mei tahun lalu. Insyaa Allah, ia sebagai sumbangan saya terhadap syiar dakwah terakhir beliau semasa hayatnya.”

rahmad3

Rahmad juga bakal merakamkan lagu Sajadah Ka’bah dalam versi Bahasa Inggeris tidak lama lagi sebagai salah satu usaha beliau untuk membawa mesej lagu berkenaan ke persada dunia.

Muzik video lagu berkenaan telah pun dimuatnaik di You Tube dan menerima maklumbalas yang baik dari pendengar.

rahmad6

Lagu itu dimuatkan di dalam album lagu-lagu ketuhanan terbaru Cahaya Dari Ka’bah yang dicipta sepenuhnya oleh Cahaya Bunga Saragih yang turut menampilkan penggubah muzik Iwan Fals, Maman Piul.

Majlis pelancaran album berkenaan berlangsung di Jakarta baru-baru ini, diikuti Konsert Tribute sempena ulangtahun pertama kematian Allahyarham Deddy Dores. Selain Rahmad, antara artis-artis yang turut menyertai konsert berkenaan ialah Endang S. Taurina dan Ammy Fara.

 

Sumbangan : Azrul Amila Amir

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!