91358

Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim Bakal Adakan Konsert Amal Di Ipoh - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi tersohor legenda tanah air, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim bakal berganding di atas pentas yang sama bagi menjayakan Malam Seni dan Budaya serta konsert amal ‘Doa Buat Kekasih’ yang akan berlangsung pada 7 Disember ini, di Hotel Casuarina, Meru Raya.

Ahli Lembaga Pengarah Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, konsert tersebut merupakan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Cawangan Perak yang turut mendapat kerjasama daripada PORT, D’va Event and Management, Rasa Karya Music Sdn Bhd serta beberapa agensi kerajaan dan swasta yang lain.

Katanya lagi, konsert amal itu juga bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat selain memberi peluang untuk mereka menyatakan sokongan dari segi moral dan kewangan kepada penghidap kanser di Perak.

Jelasnya program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri selain Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersetuju untuk menjadi penaung kepada konsert amal itu.

“Sebelum ini, persatuan tersebut pernah dipimpin lebih daripada 20 tahun oleh bapa kepada Menteri Besar Perak.

“Langkah beliau menaungi majlis ini merupakan sebagai tanda sokongan terhadap pertubuhan yang pernah dipimpin bapanya,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pusat Kesenian PORT, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ujar Zainol, harga meja bagi konsert amal yang ditawarkan ialah berharga RM50,000, RM20,000 dan RM15,000.

“Pihak penganjur turut menyediakan jualan meja berharga RM10,000, RM5,000 dan RM,3000.

“Bagi penonton yang hanya mahu menikmati persembahan, tiket dijual pada harga RM150 untuk dewasa dan RM100 bagi kanak-kanak,” katanya yang mensasarkan jualan tiket pada program tersebut lebih daripada RM100,000.

Dalam pada itu katanya, selain konsert amal, para penonton turut bakal dihiburkan dengan seni persembahan kebudayaan negeri.

Pada masa perkembangan sama, Ramli berkata beliau menjanjikan persembahan yang unik dan menarik pada konsert amal tersebut.

Katanya, dalam persembahan yang bakal berlansung selama dua jam setengah itu, penonton bakal disajikan 30 buah lagu oleh beliau dan Khadijah selain beberapa lagu kegemaran ramai yang akan diberi nafas baru.

“Konsert ini mesejnya sangat berat sebenarnya. Kita harus beri semangat untuk penghidap kanser ini terus hidup.

“Masyarakat harus memberi sokongan kepada mereka,” kata pelantun lagu Teratai itu.

Untuk maklumat lanjut tentang konsert amal tersebut, orang ramai boleh menghubungi penganjur di talian 05-2412287

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!