89588

‘Rampas’ – Luahan Rasa Perit Akim kehilangan Seorang Ibu - Suria FM - Segalanya Hiburan

Apabila diduga dengan pemergian insan tersayang memang suatu pengalaman yang sangat memeritkan. Apatah lagi bila insan itu adalah seorang wanita bernama ibu yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya. Bagai hilang syurga dunia, bagai hilang kunci keberkatan.

Seumpama kata mutiara ‘Apabila tertutupnya mata ibu kamu, maka hilanglah satu keberkatan hidup, iaitu doa seorang ibu’. Begitulah tema yang cuba diangkat dalam “Rampas”, single terbaru dari band popular tempatan, AKIM & THE MAJISTRET (ATM).

Bagai menggambarkan jeritan batin penyanyi band ini sendiri, Akim Ahmad yang kehilangan ibu tercinta pada Mei lalu, lagu ini bercerita tentang peritnya kehilangan, pengalaman pahit yang menginsafi diri dan mengajar erti redha. Bait-bait lirik dalam “Rampas” ini seolah-olah cuba menterjemahkan apa yang dilalui oleh Akim.

Penyampaian Akim yang sarat dengan emosi dalam melagukan setiap patah kata diiringi dengan gubahan muzik yang cukup dinamik menyerlahkan lagi elemen melankoli yang mampu meresap ke dalam jiwa dan menghantui halwa telinga pendengar.

“Rampas” membawa konsep pop-rock balada sama seperti lagu hits mereka terdahulu seperti ‘Potret’ dan ‘Mewangi’, ATM tetap mengekalkan bunyi khas mereka namun permainan instrumen di dalam lagu ini diberi kelainan dengan suntikan elemen muzik retro.

“Rampas” merupakan karya ciptaan Akim Ahmad dan Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Manakala lirik pula ditulis oleh Stacy Anam dibawah nama pena, Bunga Cantik. Ianya diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan Stacy dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai pengedar.

Tahniah diucapkan kepada Akim & The Majistret di atas pelancaran single terbaru ini. Semoga berjaya mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!