72594

Saat Indah Bersama Arwah Bapa Dalam Video Muzik 'Ketiadaan' Dato' Fazley - Suria FM - Segalanya Hiburan

whatsapp-image-2017-09-10-at-10-36-50-pm

Kasih seorang anak buat sosok bernama bapa diibarat melangkaui tinggi gunung-ganang nilainya. Dan pasti, perjuangan serta pengorbanan insan mulia ini dalam susur kehidupan kita tidak harus dipandang enteng. Begitulah kisah Dato’ Fazley Yaakob, apabila memuatkan aneka visual momen terindah bersama arwah bapa, Allahyarham Datuk Haji Yaakob Haji Mohammad ke dalam video muzik single terbaharunya, Ketiadaan.

Ilham membikin video muzik ini terbentuk oleh Fazley bersama tulang belakang di bawah bumbung SukaSucre Studio selepas enam bulan pemergian arwah yang dijemput Ilahi. Dan secara total, ia mengambil tempoh lapan bulan untuk diselesaikan termasuk aspek penyuntingan, memperkemas serta menjalani penggambaran di Perancis dan Sydney, Australia.

whatsapp-image-2017-09-10-at-10-36-50-pm-1

Ia digarap oleh Shahrul Izzat Abdullah manakala Pengarah Kreatif SukaSucre Bistro dan Creatives yang juga penyanyi tinggi lampai, Imran Ajmain memikul tanggungjawab sebagai pengarah kreatif.

Menurut Fazley, jalan cerita video muzik ini dihasilkan dengan mempertontonkan semula segala kejayaan yang diraih selepas bapanya meninggal dunia lebih setahun lalu.

whatsapp-image-2017-09-10-at-10-36-50-pm-2

“Kehilangan memberi satu impak mendalam buat saya kerana video muzik ini melagukan pelbagai kisah saya bersama arwah bapa. Tidak hanya itu, ia berkaitan cerita orang lain yang turut merasai kehilangan insan tersayang termasuk insiden MH370 dan sebagainya. Justeru, saya ingin menceritakan serba-serbi keindahan yang berlaku kepada saya di sebalik kepahitan atas pemergian orang tercinta.

“Kalau diperhatikan dua sebab saya memilih lokasi ini kerana saya berada di Perancis bagi meraikan graduasi kelulusan kulinari ketiga di samping banyak lagi keindahan dalam konteks pengalaman bersama arwah. Sementara itu, saya memilih Sydney disebabkan hendak berkongsi momen sebagai anak bermula dari zaman belajar di New Zealand sehingga sering berulang-alik ke Australia bagi bergelar seorang cef,” kata Fazley.

whatsapp-image-2017-09-10-at-10-36-50-pm-3

Selain dua lokasi itu diangkat sebagai latar signifikan penggambaran muzik video Ketiadaan, Fazley tidak ketinggalan turut berkongsi detik manis di kediaman arwah bapanya.

“Saya sengaja memilih rumah arwah bapa kerana ia mengingatkan saya kepada kenangan zaman remaja sehingga bergelar suami. Sejujurnya, terlalu banyak momen indah berlaku di situ. Ada satu babak di mana saya memegang semua piala yang diperolehi. Ia sebagai bukti saya ingin menunjukkan kepada arwah bahawa beliau tidak sempat melihat piala-piala itu kecuali Masterchef.

“Ruang tengah rumah arwah menjadi cukup sentimental buat saya kerana ia menjadi tempat kami sembahyang berjemaah, membaca surah Yassin, mengadakan perbincangan sehingga merakam kenangan saya berkongsi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menamatkan pelajaran di universiti,” jelas penulis buku resepi, My Sucre Story ini.

fazley1

Menutup bicara, bapa kepada tiga cahaya mata lelaki itu memberitahu, penonton barangkali melihat video muzik ini berkisar kejayaan personal yang diraihnya selama ini. Begitupun, ia merupakan refleksi kepada semua orang yang berjaya selepas kehilangan ibu atau ayah dan insan tercinta.

“Ketiadaan memberi 1001 maksud apabila kita sering menggapai kenangan terindah bersama individu tersayang biarpun mereka sudah tiada. Ia juga diumpamakan sebagai kecemasan disebabkan ada waktu tertentu kita hendak menelefon atau menghantar mesej bertujuan ingin menyampaikan berita gembira kepada mereka sehingga tersedar semula bahawa mereka telahpun pergi selamanya.

“Lantaran itu, memori keindahan kejayaan itu diisi ke dalam video muzik ini di samping dapat diceritakan semula andai bertemu di Syurga kelak,” kata penyanyi yang turut menyandang status cef, pengacara serta personaliti TV, pelakon dan penceramah motivasi.

Video muzik Ketiadaan yang ditayangkan secara eksklusif menerusi aplikasi penstriman muzik popular, Joox telah mencapai jumlah melebihi 33,000 tontonan.

whatsapp-image-2017-09-10-at-10-36-50-pm-4

Selain itu, ia boleh ditonton di laman YouTube (Fazley Yaakob); https://youtu.be/lIgAWpxLsJo selepas dimuat naik tiga minggu lalu.

Single ini boleh dimuat turun menerusi iTunes (http://bit.ly/ketiadaanitunes) atau Spotify (http://bit.ly/ketiadaanspotify).

Untuk mengetahui perkembangan semasa Fazley, jangan lupa untuk mengikuti di Facebook (http://facebook.com/fazleyyaakob), Instagram dan Twitter (@fazleyyaakob) atau YouTube (http://youtube.com/fazleyyaakob).

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!