90055

“Saya Bukan Kekasih Fathia Latiff” – Ali Reza - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pelakon baru, Ali Reza menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa dia adalah kekasih terbaru pelakon kontroversi Fathia Latiff.

Spekulasi itu mula timbul selepas Fathia memuatnaik gambar mereka berdua tidak lama dahulu, namun dia telah memadamkan semula gambar tersebut.

“Sejujurnya saya berkawan dengan Fathia. Kami dikenalkan satu sama lain oleh Bill Bora. Sepatutnya kami ada berlakon drama bersama. Tetapi tidak jadi”, jelasnya.

Kata pelakon kacak itu lagi, mereka mula berkawan sejak dari tahun 2017, namun pernah terputus hubungan selama lapan bulan sebelum kembali berhubung.

“Kami kembali berhubung selepas dia melihat Insta Story saya. Selepas itu saya mesej dia dan bertanya khabar. Dia seorang yang sangat kelakar dan suka bercakap” ujarnya.

Melihatkan graf kontroversi yang dicetuskan Fathia sering naik mendadak dari masa ke semasa sehingga sesiapa yang pernah ada kaitan dengannya turut terheret sama, tidak mustahil bagi Ali untuk terpalit sama.

“Saya tidak mahu masuk campur dalam segala kontroversi atau hal peribadi Fathia kerana ia amat bahaya untuk kerjaya saya yang masih baru. Saya juga tidak pernah bertanya tentang segala kontroversi yang melanda Fathia. Namun Fathia banyak mambantu saya dan saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpanya sekarang”, terangnya.

Baru berusia 21 tahun, Ali merasakan dirinya masih terlalu muda untuk dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan Fathia.

“Saya masih muda dan baru nak masuk dalam industri. Perjalanan saya masih panjang dan banyak perkara yang harus saya berlajar. Untuk fokus kepada hubungan cinta mungkin akan menjejaskan kerjaya saya”, katanya.

Pelakon yang pernah membintangi drama Mr Grey ini bakal muncul dengan drama terbaru berjudul Lelaki Kiriman Tuhan tidak lama lagi.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!