90421

“Saya Hampir-Hampir Berhenti Menyanyi dan Berpindah ke Sydney” – Rossa - Suria FM - Segalanya Hiburan

Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi tersohor dari seberang, Rossa? Penyanyi kecil molek bersuara merdu itu baru-baru ini telah dianugerahkan Anugerah Khas Planet Muzik (APM) di Singapura sekitar seminggu yang lalu atas sumbangannya kepada industri muzik nusantara serantau.

Namun di sebalik kejayaan menjual lebih 10 juta album dan menyanyi selama tiga dekad sejak berumur 10 tahun, pasti ramai yang tidak tahu bahawa penyanyi pujaan ramai ini pernah hampir-hampir mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi.

“Ramai yang tidak tahu bahawa pada tahun 2015, saya melalui satu fasa yang sangat sulit. Waktu itu saya baru selesai mengadakan konsert di Istana Budaya di Kuala Lumpur selama dua malam berturut-turut. Dan kebetulan, di sekitar waktu yang sama, saya juga baru memenangi anugerah APM pada tahun itu.

Tetapi selepas selesai dengan semua itu, saya bertanya pada diri saya sendiri, What’s next? Pada waktu itu tiba-tiba saya berasa seperti berada pada tahap paling rendah dalam hidup saya dan tidak tahu apakah yang harus saya lakukan seterusnya,” ujar Rossa ketika ditemui di acara Anugerah Planet Muzik seminggu lalu.

“Malah saya sempat mengambil keputusan yang saya rasa agak bodoh dan berfikir untuk berhenti menyanyi dan menjual semua hartanah saya dan berpindah ke Sydney, Australia. Pada waktu itu juga saya sudah sibuk mencari sekolah untuk anak-anak saya di sana.

Walau bagaimanapun sewaktu diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu ‘Jangan Hilangkan Dia, iaitu lagu tema bagi runut bunyi filem ‘I Love You from 358.000 FT’, saya bertemu beberapa orang dari industri muzik Los Angeles dan merekalah yang tiba-tiba menaikkan semangat saya dan memberikan motivasi untuk terus berkarya,” tambah Rossa lagi.

Kami di Suria tahu bahawa industri hiburan memang banyak dugaan dan tidak semua mampu menanganinya dengan baik. Walau apa pun kami berharap Rossa akan terus berkarya dan tidak berputus asa kerana ramai yang sentiasa merindukan suara merdu dan lagu-lagu Rossa. Tahniah sekali lagi dari kami di Suria.

 

 

*Terima kasih kepada Malindo Air kerana menerbangkan penyumbang Suria ke Anugerah Planet Muzik di Singapura untuk wawancara eksklusif bersama Rossa ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!