90338

“Saya Rasa Saya Tak Popular Sangat” – Wany Hasrita, Bintang Paling Popular ABPBH31 - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi wanita popular Wany Hasrita telah mencipta kejutan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 31 (ABPBH) semalam, apabila dia telah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Selain meraih kejayaan untuk kategori utama, Wany terlebih dahulu berjaya merangkul trofi Penyanyi Wanita Popular menewaskan empat lagi pesaingnya iaitu Ara Johari, Nur Fazura, Siti Nordiana dan Stacy.

Wany sewaktu ditemui di sidang media berkata, dia tidak mengjangkakan kemenangannya pada malam semalam.

Sememangnya saya tidak jangka kemenangan pada malam ini kerana saya duduk di barisan tengah dan belakang. Saya kalau pergi mana-mana anugerah, saya akan tengok tempat duduk saya dahulu. Selalunya pemenang akan duduk di barisan hadapan. Kalau nak dikirakan saya baru dua tahun dalam industri. Kemenangan ini sebenarnya sangat berat“, jelasnya.

Sewaktu ditemubual selepas Wany megambil anugerah yang pertama, penyanyi jelita yang mencipta populariti menerusi lagu Menahan Rindu ini beranggapan bahawa tahun ini dirinya tidak begitu popular dan menyerlah seperti di awal kemunculannya.

Saya rasa saya tak begitu popular sangat untuk tahun 2018 ini. Ada naik dan turun. Tahun lepas saya menempa populariti dengan lagu Menahan Rindu. Tahun ini impaknya tidak sama seperti tahun lalu. Jadi kita sendiri pun dah dapat rasa sama ada kita patut menang ataupun tidak“, ujarnya.

Kejayaan Wany memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH31 telah memecah rekod yang selama ini dipegang oleh pelakon seperti Datuk Aaron Aziz, Shaheizy Sam, Neelofa dan Fattah Amin. Kali terakhir penyanyi memenangi gelaran ini ialah pada tahun 2009 yang dimenangi oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Wany juga telah memecah rekod Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pernah memungut jumlah undian tertinggi pada ABPBH 2001 (1.7 juta) dengan meriah jumlah undian melebihi 2 juta.

“Alhamdulillah semua ini kerja keras dari kelab peminat saya. Dari hari pertama undian dibuka, mereka telah pulun untuk undi sampai ke hari terakhir. Saya sendiri pergi ke rumah mereka lihat mereka berkumpul tak tidur sampai pukul 3 pagi“, kongsinya.

Tahniah SURIA ucapkan kepada Wany Hasrita kerana telah berjaya meraih anugerah tertinggi yang mengiktiraf tahap populariti selebriti di Malaysia. SURIA percaya, usaha keras daripada peminat yang tidak putus-putus berusaha dan berdoa adalah kunci kejayaan buat Wany.

Sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular, Wany membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Citroen C4 Picasso yang bernilai RM126,000 serta sebuah trofi.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!