95406

“Saya Tak Pernah Menyanyi Depan Isteri Dan Anak” – Sham Visa - Suria FM - Segalanya Hiburan

Semenjak kemunculan beliau di pentas Gegarvaganza 6, nama Sham Visa semakin menjadi bualan para peminat seni tanah air.

Setelah 15 tahun hilang dari radar seni kerana bertugas di tengah laut, kemunculan semula Sham nyata membuatkan ramai peminat teruja.

Malah beliau kini mengumpul peminat baru dek wajah tampannya yang dikatakan mirip watak Tony Stark dari filem adiwira Iron Man.

Baru-baru ini juga tular kisah beliau menerima lebih dari 1000 mesej di Instagram setiap hari yang kebanyakannya dari isteri orang.

Persembahannya di pentas Gegarvaganza sering ditunggu peminat. Namun juri kerap mengkritik perwatakkan beliau yang masih kelihatan seperti malu-malu untuk beraksi terutamanya apabila dirinya didekati wanita.

Sham sewaktu ditemui ketika sidang media sejurus tamat konsert Gegarvaganza 6 minggu keempat berkata, beliau sudah lama tidak menyanyi dan tidak pernah menyanyi di hadapan isteri dan anak-anaknya.

“Bayangkan saya tidak pernah menyanyi di rumah. Isteri dan anak saya tak pernah dengar saya menyanyi”, kata penyanyi berusia 48 tahun ini.

Tambah beliau lagi, sebelum ini sudah banyak kali tawaran hadir kepadanya untuk menyertai Gegarvaganza namun ketika itu hatinya masih kuat ingin menabur bakti di tengah lautan.

Namun tawaran dari syarikat pengurusan artis Mind Order akhirnya berjaya menewaskan egonya.

“Sebelum kembali ke dunia seni, saya rasa saya sudah hampir kecapi kebebasan sepenuhnya.

Saya sudah terbiasa bekerja secara berkumpulan sama seperti di tengah lautan juga. Saya tertarik dengan Mind Order kerana mereka bekerja secara berkumpulan.

Menjadi seorang artis tidak mudah dan tidak murah. Saya tidak akan mampu berjalan sendiri tanpa ada ‘team work’. Saya tidak kuat tanpa mereka”, ujarnya.

 

 

 

Artikel : Amy Miyake
Gambar : NeonPixelOffical

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!