72774

Search Tampil Dengan Katharsis dan Konsert Gegaran ! - Suria FM - Segalanya Hiburan

whatsapp-image-2017-11-02-at-4-49-18-pm

Inilah masanya yang dinanti-nantikan peminat setia Search. Band rock nombor satu tanah air ini akhirnya kembali dengan album studio ke-12 berjudul KATHARSIS.

Selepas album terakhir Gothik Malam Edan pada 2006, kehadiran KATHARSIS yang diterbitkan penerbit yang sinonim dengan Search, Datuk M Nasir pasti akan terus meletakkan Search di persada rock tanah air.

whatsapp-image-2017-11-02-at-4-25-16-pm

KATHARSIS adalah istilah Yunani Purba bermaksud satu proses penyucian, pembersihan dan pengaslian jiwa raga. Ia juga membawa maksud melupuskan emosi yang lara menerusi apresiasi terhadap pengkaryaan seni atau menerusi luahan emosi dan perubahan emosi secara ketara.

Search yang kini dianggotai Amy (penyanyi), Nasir Rockfather (bass), Din (gitar) dan Kid (gitar), KATHARSIS dicadangkan oleh M Nasir dengan persetujuan bersama. “Judul ini memang tepat dengan keadaan semasa dan suasana Search ketika ini. Dalam Search, kami melepaskan segala emosi, perasaan, pengalaman dan serta apa yang dipendam dalam tempoh 11 tahun selepas album Gothik Malam Edan menerusi album KATHARSIS ini”

Mengenai konsep dan muzik album ini, Search masih mengekalkan gaya muzik rock & roll Search. “Sound, muzik, ‘chemistry’ dan hala tuju album ini adalah sama seperti Search yang anda kenali sebelum ini. Ia adalah tipikal muzik Search, tetapi dalam masa yang sama kita adunkan dengan resipi dan cara baru serta bunyi yang lebih berkualiti.

“Sound gitar Din dan Kid juga lebih berat. Din menghasilkan riff yang lebih berat berbanding sebelum ini. Kid pula melakukan solo gitar daripada jiwanya. Ini ditambah dengan sentuhan M Nasir yang cukup serasi dengan kami sejak album pertama kali,”

whatsapp-image-2017-11-02-at-4-25-16-pm-1

Selain M Nasir, Search juga bekerjasama kembali dengan individu yang ‘biasa’ dengan muzik mereka seperti S Amin Shahab, Usop dan Buddhi Hekayat yang menghasilkan lirik.

Keserasian yang wujud di antara Search dan M Nasir tidak perlu dipertikaikan. Ia sudah wujud sejak mereka mula-mula merakamkan album sulung Cinta Buatan Malaysia lebih 30 tahun lalu.

“Sebaik saja kami mendapat tawaran merakamkan album ini, permintaan pertama kami ialah cari M Nasir. Apabila dia bersetuju saja, kami tidak berlengah lagi dan terus masuk studio,” katanya. Menurut Search, seperti juga album-album terdahulu, mereka bersama M Nasir akan memasuki studio tanpa sebarang idea.

whatsapp-image-2017-11-02-at-4-49-19-pm

Idea hanya muncul di dalam studio dan dari situlah ia berkembang hinggalah terhasilnya sebuah album.

“Itu memang cara kami sejak dulu. Kita akan mula cari lagu yang sesuai bersama-sama. Biasanya M Nasir akan mencipta melodi dan kami akan membuat susunan muzik. Namun, kadang-kadang kami hasilkan susunan muzik dulu dan selepas itu baru M Nasir masukkan melodi. Cara begini tak banyak band yang boleh buat, hanya band yang berpengalaman saja,” katanya

SINGLE PERTAMA – ‘SIDANG KANGAROO’

Album KATHARSIS yang diterbitkan di bawah label Pawana Music ini mengandungi 10 lagu ciptaan M Nasir, Nasir Rockfather, Din dan juga ciptaan bersama semua anggota Search.

Lagu Sidang Kangaroo ciptaan M Nasir, Amy, Nasir Rockfather, Din, Kid, Pae serta lirik oleh Ishmael MS diketengahkan sebagai single pertama album ini.

Single ini berada di pasaran digital bermula 2 November dan diedarkan Indigital Sdn Bhd.

Lirik bersifat satira ini merungkai makna ‘kangaroo court’ atau mahkamah kangaroo.

Ia adalah istilah umum untuk menggelar perbicaraan yang tidak adil, pertuduhan yang tiada bukti atau saksi yang tidak dipercayai.

Situasi ini mungkin perbicaraan sebenar atau perbicaraan yang diadakan hanya untuk ‘mengejek’ apa yang sebenarnya berlaku.

Istilah ‘kangaroo court’ dipercayai berasal dari Australia ketika zaman ‘Penal Colony’ pada kurun ke-19 di mana butiran perbicaraan berubah dan ‘melompat-lompat’ untuk menjustifikasikan kesalahan banduan.

Kini, Kangaroo Court of Australia aktif sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memantau salah laku dalam pentadbiran awam.

PAWANA MUSIC

Album KATHARSIS diterbitkan di bawah label Pawana Music yang bermula daripada minat Presiden Pawana Music, Dato’ Haji Ahmad Zaharul Annuar terhadap muzik terutamanya rock.

Selepas melihat pasaran muzik fizikal yang semakin mengecil berikutan era digital sekarang, Ahmad Zaharul membuka kedai muzik bernama Fenomena Music yang menjual CD, kaset dan piring hitam (vinyl) kerana yakin masih ramai yang membeli album secara fizikal.

Pasaran format vinyl yang meningkat juga memberi semangat kepadanya untuk memberikan pembeli lebih pilihan.
Ia diberi nama Fenomena Muzik kerana Search adalah band rock legenda tempatan yang paling digemari.

Dari situlah minat itu berkembang sehingga tertubuhnya Pawana Music sebagai label muzik independant yang diharap dapat mewarnai industri muzik tempatan.

Kerjasama dengan Search berjaya menghasilkan perkongsian untuk menghasilkan vinyl dan CD album-album terdahulu mereka bermula dengan Fenomena serta album terbaru ini.
Sebelum ini Pawana Music bergerak atas nama Dream Studio yang menghasilkan album Rusty Blade, Lefthanded, Wings dan Zainal Abidin dalam fomat vinyl.

KONSERT GEGARAN !

Selain kelahiran album terbaru, peminat Search pasti lebih teruja apabila Search bakal tampil dengan Konsert Gegaran! anjuran DCODE DUNIA JUARA di Tapak Bazarena, Shah Alam pada 2 Disember ini.

Konsert yang turut menampilkan band popular Indonesia, Nidji, Bunkface, Hujan dan Oh! Chentaku itu bermula pada jam 5 petang.

Apa yang pasti, ia bakal menyaksikan Search pertama kali akan memainkan lagu-lagu terbaru mereka secara live.
Dapatkan tiket anda di www.myticket.asia atau di cawangan Rock Corner. Tiket-tiket juga boleh didapati di final Piala Malaysia di antara Kedah dan JDT di Kuadron D, Stadium Shah Alam pada 4 November ini.
Konsert secara langsung ini dibawakan oleh DCODE DUNIA JUARA.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!