72329

Segalanya Lebih Bermakna di Suria Ramadan Ini - Suria FM - Segalanya Hiburan

whatsapp-image-2017-06-01-at-3-58-11-pm

Tanpa disedari sudah seminggu umat Islam menunaikan ibadah puasa. Dan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan dan juga Syawal yang bakal muncul tidak lama lagi, Suria memperjuangkan tema “Lebih Bermakna” untuk lebih menghayati bulan mulia ini.

Bersesuaian dengan tema tersebut, pelbagai inisiatif telah dirancang untuk menjadikan Ramadan dan Syawal tahun ini lebih bermakna buat para pengikut Suria dan juga masyarakat secara umum. Sebagai permulaan, beberapa penyampai Suria serta selebriti terkenal dan juga wakil daripada jenama minuman popular Tealive telah sama-sama membawa keceriaan kepada pesakit kanak-kanak di wad pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

whatsapp-image-2017-06-02-at-10-58-20-am

Mereka telah bersama-sama mengedarkan hadiah berupa duit raya, buku mewarna, pensil warna dan juga belon kepada adik-adik di wad-wad tersebut. Buat para petugas wad yang terdiri daripada jururawat serta doktor pula, mereka telah menerima pek berupa bekalan berbuka puasa sebagai menghargai kerjasama serta usaha mereka yang membantu untuk menjaga dan merawat kanak-kanak di wad itu.

whatsapp-image-2017-06-01-at-5-35-37-pm

Dua artis jemputan yang turut serta meluangkan masa untuk bertemu dan mengedarkan hadiah-hadiah ini adalah pelakon jelita Liyana Jasmay dan juga penyanyi kelahiran Singapura Imran Ajmain. Imran dan Liyana mengatakan yang mereka sangat gembira dapat menyertai lawatan ini. Mereka juga berharap yang sumbangan serta kehadiran mereka yang tidak seberapa itu dapat menceriakan lagi adik-adik yang berada di hospital tika bulan puasa ini.

whatsapp-image-2017-06-01-at-3-58-05-pm

Perasaan ini turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tealive, Bryan Loo yang turut sama hadir dan mengambil bahagian dalam projek amal ini.

“Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak Suria kerana sama-sama mengajak kami untuk menyertai program ini dan membawa sedikit kegembiraan buat adik-adik di wad pediatrik PPUM ini,” jelas Brian.

whatsapp-image-2017-06-01-at-2-45-51-pm

Tidak dilupakan dalam lawatan ini sudah tentulah para penyampai Suria yang hadir pada petang itu, iaitu Halim Othman, DJ Lin, Abang Brian dan juga Fizi Ali.

“Kak Lin dah pernah mengikuti program seperti ini dulu sewaktu tercalon untuk Anugerah Bintang Popular beberapa tahun lalu. Waktu itu mereka ada menganjurkan sebuah lawatan seperti ini juga.  Jadi ia bukanlah sesuatu yang baru, namun perasaan bertemu dengan anak-anak kecil yang sakit sudah pasti akan tetap menyentuh hati dan perasaan saya. Kak Lin bersyukur dapat meluangkan waktu dan berkongsi sedikit keceriaan dengan anak-anak ini. Apatah lagi sebagai ibu, Kak Lin faham perasaan ibubapa yang menjaga anak-anak mereka di sini,” ujar DJ Lin.

whatsapp-image-2017-06-01-at-3-58-06-pm

Buat Halim Othman dan Fizi Ali pula, kedua-duanya bersetuju bahawa ini merupakan satu aktiviti yang mempunyai banyak manfaat kepada semua pihak. Selain mendekatkan lagi hubungan silaturrahim dengan masyarakat sekeliling, ia juga memberi peluang untuk mereka menghiburkan adik-adik yang berada di sini.

Namun buat penyampai yang popular dengan nama Abang Brian, perasaannya berbaur gembira dan sedih kala diberitahu tentang lawatan ini.

whatsapp-image-2017-06-01-at-3-57-24-pm

“Di sinilah tempat ayah saya meninggal dunia gara-gara penyakit barah beberapa tahun yang lalu. Jadi tiap kali saya ke sini, ia pasti akan mengingatkan saya kepada peristiwa sedih tersebut. Namun, kerana saya sukakan kanak-kanak, saya datang juga. Dan setelah melihat mereka tersenyum saat menerima hadiah dan kunjungan kami, semua kenangan sedih saya hilang begitu sahaja,” kata Brian.

whatsapp-image-2017-06-02-at-10-59-17-am

Pihak Suria juga ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kerja wad pediatrik  serta wakil PPUM yang lain atas kerjasama yang telah mereka berikan kepada kami sepanjang lawatan. Yang pasti kami di Suria berharap lawatan ini benar-benar menjadi ‘lebih bermakna’ buat anak-anak yang kami kunjungi!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!