85117

Selawat ‘30,000 Kaki’: InTeam Terkejut Video Tular Di Media Sosial - Suria FM - Segalanya Hiburan

20180207_185253

Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan sebuah video empat minit yang memaparkan penumpang-penumpang kapal terbang Air Asia X sedang berselawat beramai-ramai. Video di dalam kapal terbang yang membawa 400 jemaah menuju ke Madinah itu telah tersebar dan mencecah lebih 500,000 tontonan di sebuah laman viral di Facebook.

Video itu turut menjadikan dua orang anggota dari salah sebuah kumpulan nasyid terkenal tanah air sebagai tumpuan apabila mereka telah mengetuai acara berselawat demikian. Dua anggota nasyid tersebut ialah anggota dari kumpulan Inteam iaitu Muhammad Hazamin Harun (38) dan Abdul Rahim Osman (38). Mereka juga selaku wakil pembimbing (mutawif) jemaah umrah bagi syarikat Tiram Travel sempat ditemubual setelah kembalinya mereka ke tanah air.

screenshot_20180220-175039

“Sebenarnya ia berlaku secara tidak dirancang,” ujar Hazamin Inteam. Hazamin berkongsi detik-detik sewaktu kejadian itu berlangsung di mana ketika itu mereka sebenarnya sedang mengadakan mesyuarat kecil sesama mutawif berkenaan perancangan setibanya mereka di bumi Madinah. Namun hendak dijadikan cerita, pramugara bertugas pada waktu itu mengenali kumpulan Inteam dan meminta mereka untuk menyanyikan sebuah lagu menerusi talian corong dalaman kapal terbang.

“Kami fikir hendak menyanyikan lagu Inteam (pada waktu itu) seperti kurang sesuai. Kami pun sudah mahu tiba di Madinah, eloklah kami berselawat,” cerita Hazamin panjang lebar berkenaan kejadian spontan itu. Menurut Hazamin, kapal terbang itu turut dihuni oleh penumpang-penumpang dari rombongan ejen pelancongan yang berbeza dan semuanya menuju ke Madinah bagi tujuan yang sama. Malahan terdapat juga penumpang dari Indonesia dan Singapura bersama mereka.

“Kami tidak sangka video itu boleh jadi sebegitu viral,” ujar Rahim Inteam yang turut merupakan salah seorang mutawif bagi rombongan jemaah tersebut. Rahim berpendapat antara faktor yang menjadikan video itu tular ialah mungkin kerana ibadah umrah itu sendiri amat dekat dengan umat Islam dan menurut komen-komen yang diterima, ramai yang mengimbau kembali kenangan pertama kali menaiki kapal terbang bagi mengerjakan umrah.

“Namun di pihak kami, ia merupakan sesuatu yang diluar kawalan dan bersifat rezeki,” tambah Rahim lagi. Beliau juga menyatakan bahawa acara kerohanian di dalam kapal terbang seperti itu tidaklah dapat dipastikan sama ada pernah diadakan atau tidak sebelum ini. Namun yang pasti ada di kalangan para ustaz yang sering juga membacakan doa dan menyampaikan kuliah di dalam kapal terbang seperti Ustaz Don misalnya.

Menyentuh berkenaan tugas yang digalas oleh dua anggota nasyid ini sebagai mutawif, Hazamin dan Rahim ternyata menyimpan banyak kisah menarik sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Hazamin sendiri telah menuju ke tanah suci sebagai mutawif sebanyak lima kali. Malahan antara hajat terbesar pengarah syarikat Inteam Records ini ialah untuk kerap menziarahi tanah suci dan beliau bersyukur kerana cita-cita itu telah tercapai. Namun berbeza pula buat Rahim.

“Ini pengalaman pertama saya menjadi mutawif,” ujar Rahim. Beliau sendiri berkongsi rasa teruja dapat belajar banyak perkara sepanjang menggalas tugas itu terutamanya dari sudut ilmu dan ketahanan diri. Menurut Rahim, sebahagian jemaah yang menyertai rombongan Tiram Travel adalah di kalangan orang yang sudah lanjut usia dan berpangkat ‘ayah’ dan ‘ibu’ bagi mereka. Selaku mutawif, mereka perlu banyak mengambil sikap memahami dan mempermudahkan urusan jemaah di samping mengenepikan seketika kepentingan diri sendiri.

Di penghujung temu bual, mereka sempat berkongsikan kata-kata semangat dan tip kepada umat Islam yang berhajat ingin menjejakkan kaki ke tanah suci.

20180213_041434-1

“Pertama, kita niatkan dalam hati kita bahawa kita hendak menjadi tetamu Allah. Keduanya kita doa dan solat hajat, dan yang ketiganya kita mulakan langkah walaupun dengan hanya menyimpan seringgit, dua ringgit sehari,” kongsi Hazamin Inteam. Rahim turut menyokong saranan yang sama.

“Perjalanan umrah ini merupakan satu simbolik perjalanan rohani yang telah bermula sebelum kita bertolak ke sana… yang penting perlu ada kesungguhan dalam berhajat…,” ujar Rahim.

Mengenai perkembangan terkini kumpulan nasyid Inteam, mereka sedang rancak menghasilkan video akustik ‘live’ di YouTube sebagai tontonan peminat-peminat yang telah menyokong mereka selama ini.

SELAWAT BERGEMA 30,000 KAKI DI UDARA MENERUSI PESAWAT AIRASIA X MENUJU KE MADINAH

SELAWAT BERGEMA 30,000 KAKI DI UDARA MENERUSI PESAWAT AIRASIA X MENUJU KE MADINAH* * *MASHA ALLAH… ALLAHUMMA SOLLI 'ALA SAYYIDINA MUHAMMAD!Seronoknya tengok jemaah yang pergi menunaikan umrah berselawat beramai-ramai di dalam kapal terbang. Dimaklumkan jemaah merupakan rombongan yang dibawa oleh syarikat Tiram Travel dan ketika itu mereka sudah pun hampir tiba ke kota suci Madinah.Mudah-mudahan kita semua dapat menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah suatu hari nanti Insya Allah.AMEEN!—————————————————————————–Admin: Sedap abang2 nasyid Inteam lead selawat. 🙂

Posted by Viralitive on Thursday, 8 February 2018

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!