85725

Selepas Ditipu, Dato Fazley Yaakob Menangis - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi, pelakon dan pemenang rancangan realiti Celebrity MasterChef Malaysia Dato Fazley Yaakob menitiskan air mata malam tadi selepas menerima kejutan sambutan hari jadinya yang ke-40, yang telah dirancang oleh keluarga serta warga kerja syarikatnya sendiri.

Di acara malam tadi Fazley terkejut kala melangkah masuk ke restorannya dan tiba-tiba melihat keluarga serta kenalan dan rakan niaga terdekatnya berada di dalam restoran sambil menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ yang berlangsung di restoran SukaSucre Bistro miliknya di Wisma RYU Cheras.

Malah sebaik sahaja selesai nyanyian, Fazley memberitahu yang dia benar-benar terkejut dengan apa yang telah terjadi.

“Pada mulanya saya dan isteri saya sudah merancang untuk makan malam bersama sempena hari jadi saya. Namun tiba-tiba dia memberitahu dia tidak dapat menepati waktu kerana ada latihan sampai jam 10 malam. Ibu saya pula memberitahu dia akan memandu sendirian daalam keadaan hujan lebat sedangkan saya sudah suruh pemandu saya menghantarnya ke mana sahaja. Tapi ibu saya tetap berdegil dan mengatakan yang dia boleh memandu sendiri.

Selain itu para pekerja saya menjelaskan ada tempahan korporat khas untuk 80 orang pada malam ini yang ingin mencuba hidangan manisan khas ‘Sweet Table’ saya. Gara-gara semua rancangan saya untuk menyambut hari jadi diganggu hari ini, hampir semua pekerja saya dimarahi. Tak sangka rupa-rupanya saya ditipu oleh semua yang terbabit dalam merancang kejutan ini,” ujar Fazley panjang lebar kala memberikan ucapan selepas mendapat kejutan.

Pada malam itu juga isterinya Datin Azrene Soraya sempat membuat ucapan dan memberikannya hadiah berupa gambar lama yang menunjukkan arwah ayah Dato Fazley, iaitu Datuk Yaakub Mohammad melukis kata-kata ‘Selamat Beroperasi’ sebagai pembakar semangat untuk anak sulungnya itu.

Selepas melihat gambar yang dibingkaikan itu Fazley menceritakan yang ayahnya dahulu seorang tukang masak yang hebat dan pernah menjadi penjual mi di Kedah satu ketika dahulu. Malah sebaik sahaja bercerita tentang ayahnya, Fazley mula merasa  sebak dan menitiskan air mata.

Walau bagaimanapun acara malam itu diteruskan dengan penuh kegembiraan selepas melihat ramai orang terdekat dengannya hadir untuk meraikan hari jadinya bersama-sama. Selain ahli keluarga, beberapa rakan sekolahnya, juri rancangan MasterChef Malaysia serta beberapa orang rakan media turut hadir untuk memberikan kejutan.

Kami di Suria juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-40 buat Dato Fazley dan semoga dimurahkan rezeki. Insyaa Allah!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!