Baru sahaja kita mendengar berita tentang Haqiem Rusli yang dilanda depresi dan kini kami terbaca lagi berita tentang artis yang mengalami penderitaan yang hampir sama.

Menurut laporan BH Online, pelakon, Hanez Suraya, mendedahkan dirinya pernah diserang gangguan kebimbangan yang ada ketikanya membuatkan beliau menjadi murung.

Menurut laporan Zaidi Mohamad, Hanez mula dihimpit gangguan sedemikian sejak tiga tahun lalu selepas melahirkan cahaya mata sulung, Puteri Aleesya.

Katanya, ketika berada dalam keadaan sedemikian, sokongan daripada insan sekeliling amat diperlukan bagi membolehkan dirinya menempuh situasi terbabit.

“Bukan sedikit insan yang berdepan penyakit sebegini. Orang ramai di luar sana juga tidak boleh memandang remeh perkara ini dan mereka yang berdepan gangguan kebimbangan atau kemurungan. Ia sememangnya hal yang sukar untuk difahami.

“Apa yang penting, sistem sokongan perlu kuat untuk kita menempuhi situasi sebegini,” katanya kepada BH Online.

Hanez terpanggil untuk berbicara mengenai perkara itu apabila penyanyi muda, Haqiem Rusli, dikatakan turut berdepan masalah sama. Malah, artis berusia 20 tahun itu memberikan bayangan ingin bersara daripada dunia seni.

Kata Hanez, 32, walaupun sudah bertahun-tahun dirinya berdepan masalah itu, namun hanya sejak beberapa bulan lalu beliau terbuka untuk berkongsi mengenainya dengan orang ramai.

“Ia memang sudah lama melingkari hidup saya. Cuma, ketika itu saya lebih banyak memendamkan masalah terbabit. Saya tidak pernah meluahkan kepada sesiapa, jauh sekali mahu bercakap mengenainya.

“Apabila industri hiburan digegarkan dengan cerita hal kemurungan yang dihadapi insan seni, terdetik dalam hati saya untuk berkongsi mengenai perkara ini.

“Saya mula meluahkannya di nota telefon bimbit hingga menjadi seperti diari. Seterusnya, saya bercerita pula dengan menulis di Insta Story di Instagram. Tanpa diduga, ramai yang menghantar mesej dan mengakui, mereka senasib dengan saya,” cerita Hanez.

Ujarnya lagi, beliau pernah menjalani pemeriksaan kesihatan berikutan masalah yang dihadapi.

“Saya rasa sakit, malah ketika itu berat badan turun mendadak hingga ramai yang menegur mengenai perubahan fizikal dialami. Walaupun saya berselera untuk makan, tetapi badan tetap kurus. Ia membuatkan saya jadi paranoid, sehinggalah doktor mengesahkan saya mengalami gangguan kebimbangan.

“Ketika itu, saya mula mengalami tanda penyakit berkenaan, termasuk ketar kaki, kesejukan dan ketakutan. Sampai satu tahap, saya mula terfikir soal kematian. Banyak perkara negatif mula meresap dalam diri.

“Ada masanya, saya hanya mahu sendirian dalam bilik, tanpa berbuat apa-apa. Waktu itu, hendak tidur pun tidak boleh. Saya juga tidak mahu orang lain mendekati diri ini,” katanya.

Kata Hanez lagi, tanda lain adalah diserang rasa panik dan kemudian kebimbangan.

“Jika tidak dijaga, ia boleh mendorong ke arah kemurungan. Mujur saya belum sampai ke tahap kronik sebegitu. Saya seperti berhalusinasi dengan diri sendiri, mendengar suara halus yang menakutkan.

“Ketika itu, saya mengelak daripada berjumpa pakar kerana takut nak makan ubat. Saya sebaliknya lebih banyak menyertai program usrah dan mengikuti ceramah agama, sejak Oktober tahun lalu. Ia atas undangan seorang wanita bergelar Datin, yang mengadakan aktiviti berkenaan di kediamannya.

“Menerusi program itu, saya dapat kawan dan keluarga baharu serta berasa lebih tenang. Saya juga berkenalan dengan seorang ustazah yang kemudian membantu saya dalam bacaan al-Quran,” katanya.

Ujar Hanez, kelompok kawan baharu itu turut mendorong beliau menganjurkan program mengenai gangguan kebimbangan pada 4 Februari lalu di Cyberjaya.

“Saya membuka penyertaan kepada 40 orang saja dan ia mendapat sambutan cukup baik. Insya-Allah, jika ada rezeki saya mahu menganjurkan lagi program sebegitu,” katanya sambil mengakui dirinya berasa lebih dekat dengan Yang Maha Kuasa.

Hanez yang mendakwa semakin pulih percaya, keresahan dihadapinya itu ada kaitannya dengan pengalaman silam.

Kami di Suria berharap sesiapa sahaja yang mengalami masalah yang sama, dapat memberitahu ahli keluarga atau mencari bantuan profesional secepat mungkin. Jangan sampai masalah ini memakan diri. Seperti yang kita ketahui, kes-kes kemurungan, kebimbangan serta depresi menjadi punca utama ramai artis luar negara membunuh diri. Jadi janganlah kita terperangkap dalam belenggu yang serupa.

 

sumber : BH Online

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!