72676

Seorang Lagi Cikgu Jadi Penyanyi! - Suria FM - Segalanya Hiburan

 

cikgu-meera

Jika sebelum ini beberapa orang guru pernah mencipta nama sebagai penyanyi dalam industri muzik tempatan kini muncul seorang lagi cikgu berbakat. Mengikuti jejak langkah cikgu-cikgu yang juga menyanyi seperti Ana Rafali,Tasha Mansyahar serta Syed Shamim, seorang pendatang baru bergelar Cikgu Meera tampil mewarnai industri.

Selepas tular di laman aplikasi “smule” tahun lalu, Nur Ameera Nabila Binti Azmi atau nama pentasnya, Cikgu Meera meneruskan kecintaan seninya dengan single pertama berjudul , ‘Oh Sayangku’. Ia merupakan karya penuh komposer berpengalaman Eddie Hamid dan Nur Hakim, di mana Eddie sendiri bertindak sebagai penerbit single ini.

Dan tiada lain, wanita berusia 24 tahun itu mensasarkan ekspektasi tinggi terhadap lagu “Oh Sayangku” agar terus mewarnai lapangan hiburan tanahair dan juga menghadiahkan para pengikutnya di “smule”.

Menurut Cikgu Meera , Oh Sayangku merupakan sebuah lagu yang cukup sinonim dengan jiwanya. Tidak hanya itu, single ini boleh diterjemahkan sebagai 100 peratus berkait ruang lingkungan kehidupan personal dan kerjaya seninya. Selain menyanyi dia aktif dengan acara seni lain seperti bersajak dan lain-lain acara seni.

“Lagu ini berkisar kecintaan seseorang yang mempunyai perasaan sayang mendalam selepas ditinggalkan kekasihnya dan berharap kekasihnya akan kembali kepadanya,” jelas Meera.

“Kelainan single ini jika dibandingkan dengan lagu-lagu masa kini ialah keindahan melodi melankolik dan digarap liriknya yang matang. Tidak hanya itu, saya turut menekankan aspek vokal secara total. Begitupun, kalau didengari semula, susunan muzik untuk lagu ini lebih moden dan bercitarasa alaf ini ,” kata Cikgu Meera yang cukup ternantikan penggambaran video muzik yang akan dibuat dalam waktu terdekat ini.

Menyambung bicara, guru muda di salah sebuah sekolah di Shah Alam ini memberitahu, dia sudah sedia menjalani kehidupan sebagai anak seni tanpa melupakan tanggungjawab sebagai pendidik. Pembikinan dan proses di belakang tabir untuk single ini memakan masa selama dua bulan sebelum ia menjadi sebuah karya yang lengkap.

“Sejujurnya, komposer lagu ini merupakan seorang individu yang kreatif dan memiliki citarasa tinggi dalam setiap naskhah hasilkanya. Lebih menarik, dia sanggup bereksperimen sehingga mengeluarkan aneka versi demo lagu yang sama sebelum saya membuat keputusan untuk memilih yang terbaik.”

“Harapan saya agar single ini bakal meraih tumpuan peminat sekaligus dapat memberi sokongan terhadap sumbangan kecil hasil seni saya bersama komposer ini. Tidak ketinggalan, saya sentiasa bercita-cita tinggi untuk terus menghadirkan lagu-lagu berkonsep unik bagi lebih mewarnai kanvas bidang hiburan tempatan,” kata Meera lagi.

Para peminat kini boleh melayari video lirik lagu “Oh Sayangku” di https://www.youtube.com/ watch?v=cW566xfYzhY

“Oh sayangku” merupakan satu lagi edaran daripada Nova Music Sdn. Bhd. dengan kolaborasi JAYY Production, selaku pihak pengurusan Cikgu Meera .

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!