90841

Siapa Melda Ahmad? - Suria FM - Segalanya Hiburan

Semenjak video muzik lirik lagu ‘Kau Takkan Tahu’ dilancarkan di laman Youtube pada tiga ogos lalu, ramai tertanya-tanya siapakah gadis misteri bersuara merdu yang turut sama menyanyi bersama Zizan Razak.

Lantas, sewaktu pelancaran rasmi video ‘Kau Takkan Tahu’ pada 14 oktober lalu Zizan Razak telah memperkenalkan wanita tersebut yang bernama Melda Ahmad.

“Assalamualaikum semua. Kepada yang tertanya tanya siapakah penyanyi KAU TAKKAN TAHU. Jadi harini Zizan kenalkan inilah orang yang bersuara merdu itu @meldahmad sopan santun budi pekerti lagi. Doakan supaya beliau dimurahkan rezeki lagi. Amin.” kata Zizan Razak di laman Instagramnya sekitar seminggu yang lalu.

Muat naik gambar di Instagram yang telah mendapat 61’442 likes dan 407 komen itu rata-ratanya memuji suara Melda Ahmad dan berpendapat wajahnya seiras dengan Ayda Jebat.

Namun ada juga yang mengenali Melda Ahmad sebagai ‘Gadis Semasa Sunsilk’ yang pernah popular sekitar 2010 melalui lagu Kimia, Putus dan Aku adalah aku.

Nur Imelda Ahmad atau lebih dikenali sebagai Melda Ahmad (lahir 23 Oktober 1991) merupakan seorang penyanyi, penulis lirik dan pelakon wanita Malaysia. Beliau terkenal sebagai penyanyi pada zaman kegemilangan muzik indie pada tahun 2009 di Malaysia melalui lagu “Putus & Kimia” yang ditulis oleh beliau sendiri. Beliau juga turut menjadi pelakon utama untuk drama realiti Gadis Semasa Sunsilk arahan Bernard Chauly bersama rakan beliau Ain Edruce.

Melda Ahmad dilahirkan di Mentakab, Pahang dan dibesarkan di Shah Alam, Selangor. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Muzik di Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Shah Alam, Selangor.

Beliau telah menamatkan zaman bujangnya pada tahun 2013 dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan.

Melda telah mula bergiat aktif dalam bidang nyanyian semenjak zaman persekolahan lagi. Beliau pertama kali muncul di kaca televisyen seawal umur 12 tahun dalam rancangan nyanyian Who Will Win yang dihoskan oleh Azizan Nin di ntv7. Ketika usia remaja, beliau banyak terlibat dengan rakaman demo lagu, persembahan gig dan muzik indie. Setelah itu, beliau cuba untuk menghasilkan lagunya sendiri dan memuat naik lagunya ke laman sesawang Myspace. Lagu “Kimia & Putus” yang ditulisnya mula tular di laman YouTube yang membuatkan dirinya mula dikenali ramai.

Pada tahun 2010, beliau telah menerima tawaran berlakon bagi drama realiti bersiri sebanyak 13 episod bertajuk Gadis Semasa Sunsilk oleh syarikat produksi Red Communications yang bersiaran di TV3. Melalui platform drama realiti itu, beliau mendapat peluang untuk bekerjasama bersama bintang Wardina Safiyyah, pendandan rambut tersohor Bambang Soteto dan komposer Ajai. Hasil kerjasama beliau bersama Ajai, sebuah single telah diterbitkan bersempena dengan drama realiti Gadis Semasa Sunsilk tersebut iaitu “Aku Adalah Aku” nyanyian Melda dan muzik videonya ialah arahan Shamyl Othman. Selain itu, konsert Gadis Semasa Sunsilk telah diadakan bagi meraikan transformasi yang telah berlaku terhadap Melda untuk menjadi seorang bintang. Beliau telah berkongsi pentas bersama penyanyi ratu rock Malaysia Ella, Yuna, Hujan dan One Nation Emcees.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!