72649

Siapa Sherry Al-Junied ? - Suria FM - Segalanya Hiburan

whatsapp-image-2017-09-29-at-7-16-26-pm

Sherrie Al-Junied, anak kelahiran kota Singapura mendambakan dirinya dalam dunia seni selama 30 tahun. Berdiri sebagai seorang penghibur yang penuh bertenaga apabila beraksi di pentas persembahan, pemilik nama sebenar Sharifah Nor Syed Mohd. AlJunied ini merupakan seorang wanita yang kaya dengan senyuman, ramah, ceria dan tidak kedekut ilmu untuk dikongsi dengan masyarakat khususnya penggemar muzik bersandarkan pada pengalaman seni dan liku-liku kehidupan yang dilaluinya selama 58 tahun.

Pernah bernaung sebagai penyanyi syarikat rakaman di bawah label Polygram ketika usianya dalam pertengahan 20-an, Sherrie yang cukup terkenal dengan aksi lincahnya di kalangan peminat pada ketika itu telah bertindak membuat satu keputusan iaitu untuk meninggalkan dunia rakaman sekitar tahun 1980-an.

Menurut Sherrie, keputusan itu terpaksa diambilnya kerana pada ketika itu Sherrie ditipu pengurus sendiri.

Itulah antara pengalaman amat pahit yang membuatkan beliau nekad untuk meninggalkan dunia rakaman dan negara. Sherrie AlJunied kemudian membatalkan kontrak dengan label yang sepatutnya berakhir dalam masa 2 tahun lagi, Sherrie yang seangkatan dengan penyanyi Yunizar Hoessin meninggalkan negara kelahirannya lalu meneroka dunia luar dengan meneruskan langkah penghibur.

Sherrie AlJunied juga adalah seorang pengubat tenaga dalaman atau ‘reiki energy healing master’ yang bertauliah. Beliau mampu mengalirkan tenaga positif positive energy untuk penyembuhan dalaman, luaran dan soul healing.

Mungkin kenyataan ini agak pelik tetapi ia adalah satu kebenaran dan Sherrie sendiri berkongsi cerita bagaimana ilmu penyembuhan dalaman atau ‘reiki energy healing’ yang dipelajarinya suatu ketika dahulu berjaya membantu kecederaan dalaman yang dihadapinya ketika beliau ditimpa kemalangan jalan raya.

“Saya akui boleh mengajar mereka di luar sana teknik reiki energy healing kerana saya mempunyai pentauliahan. Sherrie sudah mengajar rawatan ini ke pelbagai bangsa dan latar belakang selama 13 tahun. Dan sudah diamalkan selama 21 tahun. Rawatan kesakitan bukan sahaja dari segi luaran tetapi yang penting adalah penyembuhan dalaman. Itu termasuklah pembersihan hati dan jiwa untuk menghadapi kehidupan yang mendatang di mana kita sendiri tidak tahu apakah cabaran yang menunggu di depan mata,” kata Sherrie yang mahu membantu masyarakat khususnya peminat untuk menjalani kehidupan yang dapat mengawal stress.

Kelebihan Sherrie sebagai seorang penghibur di atas pentas dapat dirasai dan dibayangkan menerusi pengendalian kelas zumba kerana beliau juga adalah merupakan seorang tenaga pengajar zumba atau zumba fitness instructor, Jumper Fitness Istructor, Breathing Fitness atau Senaman Pernafasan .

Maka itulah Sherrie tampil dengan single baharunya berjudul Seorang Wanita sebagai salam perkenalan semula dengan para peminat dan penggemar muzik di Malaysia. Mungkin single Seorang Wanita ini boleh menjadi kunci untuk mengetuk halwa telinga penggemar muzik yang tidak seangkatan usia ketika Sherrie AlJunied mula-mula melibatkan diri sebagai seorang penyanyi.

whatsapp-image-2017-09-29-at-7-16-26-pm-1

Bagi Sherrie, jurang generasi tidak wujud dalam dunia seni. Muzik adalah penyatuan tanpa batasan usia, kepercayaan, pegangan dan apa juga fahaman yang lebih bersifat individualistik. Oleh itu, kelahiran single Seorang Wanita turut memuatkan satu bonus trak kepada pendengar apabila beliau turut merakamkan sebuah lagu lama berjudul Di Waktu Petang Di Geylang Serai.

“Lagu saya, nyanyian saya, aksi persembahan di atas pentas adalah berkait rapat dengan tenaga. Bezanya tenaga saya lahir daripada nyanyian, tarian, muzik, reiki dan zumba. Ia juga datanag daripada tenaga sebagai jumper instructor dan jurulatih senaman Pernafasan.,” ujar Sherrie lagi.

Mengakui Superstar Anita Sarawak sebagai idolanya, Sherrie AlJunied bagaimanapun enggan disamakan dengan Anita Sarawak yang sememangnya diakui, berada dalam kelasnya yang tersendiri sebagai seorang penghibur bertaraf antarbangsa.

Mencungkil sedikit kisah peribadi Sherrie, beliau pernah berkahwin di mana perkahwinan pertamanya berakhir dengan perceraian.

Kisah itu ditanam dalam-dalam tanpa memikirkan peristiwa itu sebagai noktah pengakhiran sebuah kehidupan berumah tangga.

Jodoh Sherrie buat kali kedua hadir dalam dirinya apabila dipertemukan dengan seorang lelaki budiman warganegara Austria selepas 23 tahun Sherrie AlJunied hidup sendirian. Justeru, keseimbangan karier dan kehidupan peribadi, ujar Sherrie, diteruskan dengan perkahwinan kali keduanya pada tahun 2005.

Kata Sherrie, perkahwinan adalah individualistik dan suratan yang tersurat dalam kehidupan. Mempunyai seorang anak lelaki yang masih bujang, Sherrie tidak pernah memaksa anaknya untuk berkahwin. Yang penting, ujar Sherrie adalah fokus kehidupan yang harus diseimbangkan sebaik mungkin.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!