88334

Simplysiti Bukti Produk keluaran Artis Mampu Bertahan Lama - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagai menjadi satu kebiasan andai produk yang dikeluarkan oleh artis atau selebriti pasti sukar untuk bertahan lama dalam pasaran. Lambakan produk keluaran selebriti tempatan muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, tetapi ibarat pokok pisang yang hanya berbuah sekali sahaja.

Namun situasi itu tidak terjadi kepada produk kosmetik keluaran penyanyi nombor satu negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Jenama Simplysiti terus kukuh di pasaran dan sudah memasuki tahun yang kelapan sejak ia mula diperkenalkan.

Lapan tahun menawan hati pengguna dengan pelbagai rangkaian produk kosmetik, Dato Sri Siti mengakui turut melalui fasa-fasa mencabar sebagai seorang usahawan kosmetik.

Simplysiti juga tidak terkecuali daripada melalui cabaran-cabaran untuk berjaya. Pelbagai cabaran sebenarnya. Saya rasa bila ada cabaran baru kita memahami tentang perniagaan itu.

Tetapi Alhamdulillah semuanya kita lalui dan kita dapat tangani dengan baik dan saya bersyukur kerana saya sendiri pun tak sangka sudah lapan tahun kerana biasanya apabila bercakap mengenai produk artis ada yang bercakap hanya mampu bertahan setahun dua sahaja.

Namun saya membuktikan dan ingin membuktikan produk Simplysiti boleh bertahan lama dengan sokongan ramai pihak juga“, jelasnya.

Dato’ Sri Siti juga mendedahkan yang beliau pernah mengadu dengan suaminya Dato’ Sri Khalid  bahawa beliau terasa seperti mahu berhenti dari perniagaan ini dan hanya mahu fokus kepada kerjaya nyanyian sahaja.

Saya bersyukur kerana insan yang paling memberi saya kekuatan adalah suami saya sendiri. Pernah sekali saya rasa macam tak apa lah, tak payah lah jual produk biar saya menyanyi sahaja. Memang bila jual produk, kita kena ambil serius dalam semua perkara. Tetapi bila suami sendiri kata kita boleh terus bertahan dalam perniagaan ini dengan plan yang betul, Alhamdulillah dengan ‘team’ yang baik juga dapat membantu saya, lama kelamaan kita dapat menghadapi dan mengatasi setiap masalah dengan baik”, kongsinya.

Sehingga kini, rangkaian produk Simplysiti boleh didapati di 148 farmasi Watson di seluruh negara dan juga di butik Creacion milik Dato Sri Siti sendiri.

Terbaru jenama Simplysiti hadir dengan koleksi baharu yang diberi nama Simplysiti Gold Edition yang diformulasikan dengan dengan Soft-Focus Technology dan Gold Dust. Ia didatangkan dengan empat produk terkini iaitu Cushion Foundation, ShadingBlusher, dan Matte Lip Cream. 

SURIA kagum dengan semangat dan iltizam Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang tidak berhenti biarpun pernah merasa seperti tidak lagi mampu meneruskan perniagaan ini. Inilah semangat yang kita mahukan untuk terus maju dan bertahan dalam bidang perniagaan yang penuh mencabar ini. Semoga kisah Dato’ Sri Siti ini mampu dijadikan panduan kepada bakal-bakal usahawan di luar sana.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!