88102

Siti Sarah Hadiahkan Showcase Bertaraf Konsert Buat Peminat - Suria FM - Segalanya Hiburan

Jumaat lalu telah berlangsung showcase istimewa dari penyanyi bersuara hebat Siti Sarah Raissuddin yang bertempat di MATIC Kuala Lumpur yang dibawakan khas oleh Indigital dan Pinky Pinky .

Selalunya apabila kita bercakap tentang showcase, ia pasti berlangsung dalam masa kurang daripada 90 minit, tetapi tidak bagi penyanyi genit ini. Showcase Siti Sarah berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit.

Memulakan persembahan dengan lagu hits ‘Jangan Kau Mimpi’, Sarah membuka tirai dengan penuh bertenaga dalam balutan sut merah yang menambahkan lagi energi pada malam itu.

Sarah bijak apabila beliau cuba bermain emosi dengan mengimbas kembali perjalanan beliau di dalam bidang seni selama lebih 15 tahun. Memandangkan kerjaya nyanyiannya kembali memuncak selepas penyertaannya di dalam Gegarvaganza musim kedua (GGV2), Sarah mengabadikan memori itu di dalam rangkaian lagu-lagu medley persembahannya selama di GGV2.

Rindu dendam terubat apabila Sarah mengalunkan lagu-lagu popularnya seperti’ Saat Hilang Cintamu’, ‘Ku Teruskan’, ‘Ke Hujung Dunia’, dan ‘Bersamamu’.

Penonton pada malam itu turut berlinang air mata tatkala Sarah mengalunkan lagu berhantunya iaitu ‘Kesetiaan’ dalam susunan muzik yang lebih melankolik. lebih membuai rasa apabila Sarah mendendangkan lagu yang jarang sekali dialunkannya iaitu ‘Tinggalkan Diriku’ sehingga beliau menitiskan air mata sewaktu menyampaikan lagu ini.

Bukan sahaja berjaya menjentik emosi penonton, tetapi showcase Siti Sarah pada malam itu juga berjaya membuat penonton tidak kering gusi dengan canda Sarah dan juga tetamu-tetamu jemputan yang hadir seperti suaminya sendiri iaitu Shuib, Mark Adam, Dafi dan juga bapanya Raissuddin Hamzah.

Selain menyanyikan lagu sendiri, Sarah juga memberi penghormatan kepada tiga diva yang banyak mempengaruhi nyanyiannya seperti Whitney Houstan, Mariah Carey’ dan Toni Braxton dalam menyampaikan lagu-lagu medley seperti ‘I Will Always Love You, ‘My All’ dan ‘Unbreak My Heart’. Sewaktu menyampakan lagu ‘My All’, Sarah turut menyanyikan sebahagian daripada lagu itu dalam bahasa Melayu sekaligus mengimbau memori persembahan hebatnya sewaktu di AIM 2005.

Tidak lengkap rasanya andai penyanyi yang baru muncul dengan single terbaru ‘Semakin’ ini tidak memperdengarkan lagu barunya itu kepada penonton. Bayangkan Sarah menyanyikan lagu ini sebanyak dua kali di atas permintaan peminatnya.

Melihat keseluruhan persembahan pada malam itu, ia bukan lagi bertaraf showcase tetapi lebih kepada sebuah konsert. Muzik pada malam itu diiringi oleh pemain muzik profesional yang diketuai oleh Lok’U atau Faizal uzir. Teknik pengcahayaan juga begitu gah. Sarah juga muncul dalam dua persalinan yang begitu menyerlah.

Berpeluang menemubual Sarah dan Shuib usai showcase tamat, Shuib berkata beliau telah memberikan segala-galanya yang dimahukan Sarah untuk persembahan pada malam itu. Maka untuk menjadikan showcase pada malam itu sesuatu yang berkualiti, Shuib telah mengeluarkan bajet dua kali ganda daripada yang asal.

Mereka juga tidak mempedulikan kutipan tiket atau keuntungan kerana hanya mamhu memberikan yang terbaik buat peminat setelah 8 tahun peminat menunggu untuk menyaksikan showcase Siti Sarah. Katanya lagi, mereka juga mungkin akan membawa showcase ini ke Singapura selepas melihat kejayaan yang diraih pada malam itu.

Tahniah daripada SURIA buat Siti Sarah dan Shuib kerana telah berjaya menghidangkan persembahan yang sangat berkualiti kepada peminat. Semoga perancangan untuk membawa showcase ini ke Singapura akan terlaksana dan dipermudahkan. Jangan lupa jemput SURIA lagi ya!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!