87420

Solat Berjemaah Setiap Waktu Di Set, Kunci Drama Nur Menempa Kejayaan - Suria FM - Segalanya Hiburan

Drama rantaian Nur yang disiarkan di TV3 memang sedang hangat menjadi buah mulut seluruh rakyat Malaysia dik kehebatan skrip dan lakonan yang berkesan.

Jadi tidak hairanlah kenapa drama Nur berjaya mengumpul 9 juta penonton setia setiap kali bersiaran di kaca televisyen.

Impak lakonan mantap Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Noor Khiriah, Azhan Rani, Dato Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Laila Nasir dan pelakon baru Raja Atiqullah benar-benar berbekas di hati penonton.

Ternyata pengarah Shahrul Ezad berjaya sekali lagi berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia dengan drama arahannya. Siapa yang dapat lupa drama-drama hebat yang pernah mendapat sentuhannya seperti Kerana Cintamu Saerah, Seputih Kaseh Ramadan, Ramadan Yang Hilang dan 7 Ramadan yang pernah mencuri hati jutaan rakyat Malaysia tatkala Ramadan menjelma.

Namun disebalik kejayaan yang ditempa drama Nur, ada satu perkara yang menarik perhatian SURIA.

Sewaktu berpeluang menemubual salah seorang pelakon hebat dalam drama ini iaitu Noor Khiriah, beliau telah mendedahkan satu rahsia di sebalik kejayaan drama Nur.

Dedah Khiriah, produksi drama Nur sangat menjaga waktu solat. Setiap kali masuknya waktu solat, seluruh produksi akan berhenti dari penggambaran dan akan solat berjemaah yang diimamkan oleh seorang jurukamera.

“Sebenarnya ada banyak juga cabaran yang harus dilalui sepanjang penggambaran drama Nur, tetapi Alhamdulillah kami berjaya melaluinya dengan tenang. Nak tahu kuncinya apa? Solat. Sebelum masuk waktu solat, produksi sudah berhenti penggambaran. Kami solat berjemaah yang diimamkan oleh jurukamera. Kadang-kadang sementara menunggu untuk kru bersiap sedia beliau akan mengaji di set”, jelasnya.

Kata Noor lagi, beliau sangat berharap akan ada banyak lagi produksi yang akan menghormati waktu solat sewaktu menjalani penggambaran seperti yang dilakukan oleh Radiusone.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!